Tumbuk pengadil, tiga kad merah hiasi drama aksi Aceh bertemu Sulawesi Tengah
Astro Arena
September 16, 2024 09:00 MYT
September 16, 2024 09:00 MYT
SATU perlawanan bola sepak di Indonesia mendapat perhatian warga maya susulan insiden yang melibatkan seorang pemain Sulawesi Tengah menumbuk kepala pengadil dalam pertandingan Pekan Olahraga Nasional (PON 2024), 14 September lalu.
Sepanjang tempoh 90 minit permainan itu, ia disulami aksi panas susulan kekasaran demi kekasaran kerap berlaku sehingga mencipta pelbagai drama sensasi ketika pertembungan kedua-dua pasuka tersebut sedang berlangsung.
Terjahan keras yang dilakukan oleh Wahyu Aiman dan Moh Akbar terpaksa dikenakan kad merah menyebabkan skuad Sulawesi Tengah bermain dengan sembilan orang.
Malang berganda buat Sulawesi Tengah apabila dihukum sepakan penalti berpunca daripada pemain Aceh, Muhammad Nur Mahyuddin, yang dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-95.
Keputusan kontroversi itu mengakibatkan pemain tengah Sulawesi, Muhammad Rizki Saputra, bertindak memukul kepala wasit (pengadil) permainan, Eko Agus Sugiharto, sekali gus rebah ke padang dan diberi rawatan pantas oleh pegawai perubatan.
Kelakuan pemain tersebut mencetuskan kemarahan penyokong Aceh yang mula membaling objek ke dalam padang sebagai bantahan terhadap apa yang berlaku.
Rizki kemudiannya dilayangkan kad merah ketiga pasukan Sulawesi sejurus perlawanan bersambung semula sebelum penjaga gol menyelamatkan sepakan penalti yang diterima pasukan Aceh.
Namun, Aceh menerima satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Akmal Juanda untuk mengikat kedudukan 1-1 dan membawa Aceh ke peringkat seterusnya susulan Sulawesi Tengah enggan meneruskan perlawanan.