Tumbuk muka pengadil, bekas presiden kelab dipenjara lebih tiga tahun

Astro Arena
November 15, 2024 09:30 MYT
Koca menumbuk Halil di muka selepas Ankaragucu seri 1-1 dengan Caykur Rizespor dalam aksi Super Lig yang berlangsung pada Disember 2023. - Foto Astro ARENA
BEKAS presiden kelab Ankaragucu Turkiye, dijatuhkan hukuman penjara kerana menumbuk pengadil di atas padang selepas pertembungan Super Lig.
Mahkamah Turkiye menjatuhkan hukuman penjara kepada bekas presiden kelab Super Lig itu, Faruk Koca, lebih daripada tiga tahun, atas serangan yang dilakukan terhadap pengadil perlawanan.
Koca menumbuk pengadil, Halil Umut Meler, di muka selepas pasukannya seri 1-1 dengan Caykur Rizespor dalam aksi Super Lig yang berlangsung pada Disember 2023.
Kini, menurut laporan Associated Press, mahkamah di Ankara mensabitkan Koca kerana 'sengaja mencederakan pegawai perlawanan' dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun tujuh bulan.
Insiden itu menimbulkan kemarahan di seluruh dunia, dengan Persekutuan Bola Sepak Turkiye menggantung semua perlawanan liga selama beberapa minggu.
Koca meletak jawatan sebagai presiden kelab sejurus selepas insiden itu, yang menyebabkan pengadil mengalami keretakan kecil berhampiran matanya.
Mahkamah menyatakan dia juga disabitkan bersalah kerana mengancam pegawai itu dan melanggar undang-undang yang bertujuan mencegah keganasan dalam sukan - tetapi hukuman itu digantung.
Ankaragucu didenda sebanyak RM255,538 dan dipaksa bermain lima perlawanan tanpa penonton, mereka kemudian tersingkir pada penghujung musim tersebut.
Mahkamah menambah bahawa tiga lagi orang yang turut dibicarakan kerana menyerang pengadil dijatuhi hukuman penjara antara satu dan lima tahun.
Laporan mencadangkan Koca bercadang untuk merayu keputusan itu.
#Super Lig #Faruk Koca #tumbuk muka pengadil #Ankaragucu
;