Tujuh pemain warisan dikenal pasti untuk Harimau Malaya - Tunku Ismail
Bernama
Januari 11, 2025 22:57 MYT
Januari 11, 2025 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berkemungkinan besar diperkuatkan dengan beberapa muka baharu ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac ini.
Ia berikutan perkongsian Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bahawa enam hingga tujuh pemain warisan telah dikenal pasti untuk mewakili Malaysia.
"Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai Mac ini.
"Mustahak skuad Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif," titah baginda di akaun Facebooknya pada Sabtu.
Baginda yang dilihat mengetuai penstrukturan revolusi skuad Harimau Malaya turut memuat naik gambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif baharu pasukan kebangsaan Robert Friend serta Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan pasukan itu Dr Craig Duncan.
Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.
Hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke kejohanan bola sepak terunggul Asia itu di Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb 2027.
-- BERNAMA