Tuchel sifatkan jadual EPL tidak adil

Sinar Harian
Disember 27, 2021 12:51 MYT
Thomas Tuchel ketika perlawanan EPL antara Aston Villa dan Chelsea di Villa Park, Birmingham, England, 26 Dis 2021. (Foto AP)
BIARPUN meraih tiga mata berharga apabila menang 3-1 ke atas Aston Villa pada Isnin, pengendali Chelsea Thomas Tuchel tetap menyifatkan jadual bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai jadual yang ‘tidak adil.’
Menurut Tuchel jadual yang agak padat itu telah menyebabkan ramai pemain skuad kendaliannya itu mengalami kecederaan dan tidak sempat untuk pulih mengikut tempoh diperlukan.
Malah katanya, situasi berkenaan secara tidak langsung menyaksikan The Blues kini bergelut bagi menurunkan kesebelasan terbaik kerana lebih ramai pemain yang mengalami kecederaan.
“Bagi saya, jadual EPL kali ini tidak betul dan tidak adil buat kami, bahkan kepada semua pasukan.
“Jadual ini ‘memaksa’ kami untuk bermain walaupun ada dalam kalangan pemain kami yang disahkan positif COVID-19 dan ini menyebabkan kecederaan baharu dalam kalangan pemain berlaku.
“Kami tidak beraksi untuk tempoh 10 hari dan tiba-tiba perlu berdepan dengan kelab yang telah menjalani penangguhan perlawanan yang lebih lama dan sudah pasti memiliki persiapan yang lebih baik,” katanya.
Pada aksi di Villa Park itu, Chelsea menang 3-1 hasil jaringan Jorginho yang menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-34 dan di masa kecederaan manakala dua gol lagi hasil jaringan sendiri pemain Aston Vill, Reece James pada minit-28 dan penyerang berbisa The Blues, Romelu Lukaku menjaringkan gol pada minit ke-56.
Sementara itu, Tuchel merujuk kepada permohonan untuk menangguhkan aksi berdepan Wolverhampton Wanderers pada 19 Disember ditolak oleh pihak Liga Premier (PL).
“Kita tahu sebanyak 15 perlawanan telah ditangguh pada Disember dan Chelsea kini beraksi untuk perlawanan kelapan bagi semua pertandingan dan akan berdepan Brighton di Stamford Bridge pada Khamis.
“Untuk makluman juga pemain kami seperti Callum Hudson-Odoi and Romelu Lukaku tidak beraksi ketika berdepan Wolves manakala Kai Havertz dan Timo Werner juga masih belum pulih daripada kecederaan dan terbaru Thiago Silva dan N’Golo Kante mengalami kecederaan ketika berdepan Aston Villa.
“Oleh itu, jelas kami sedang bergelut, namun masih tetap menekan pemain di mana ia tidak sepatutnya berlaku; namun saya tetap kagum dan menghormati apa yang telah pemain lakukan bagi memastikan kejayaan pasukan dan satu-satunya sebab untuk kami melakukan penggiliran pemain adalah kerana kecederaan dan bukan lagi atas dasar taktikal,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#Thomas Tuchel #EPL #jadual tidak adil #tangguh perlawanan
;