NICE 1 PSG 4

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, akan mengambil pelajaran daripada prestasi separuh masa kedua anak buahnya selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Nice di Allianz Riviera, awal pagi tadi.

Angel Di Maria memberikan Les Parisiens dua gol pendahuluan dalam pertemuan di selatan Perancis itu, tetapi Nice berhasil merapatkan jurang dalam babak kedua hasil sentuhan Ignatius Ganago.

Tuan rumah kemudian terpaksa bermain dengan sembilan pemain susulan dua insiden kad merah dalam tempoh tiga minit sebelum kemasukan Kylian Mbappe membantu mereka memastikan kemenangan apabila penyerang itu mencetak gol dan mencipta bantuan jaringan pada lewat permainan.

Selepas perlawanan, Tuchel berkata pasukannya bermain dengan kurang ketepatan dan kesungguhan dalam babak kedua tetapi gembira dapat kembali daripada jadual antarabangsa dengan tiga mata.

"Dalam permulaan separuh masa kedua, kami terlupa untuk membunuh perlawanan," katanya kepada pemberita.

"Adalah menarik dapat menerap sistem permainan yang berbeza, kami mengambil lebih banyak risiko dan kami membuat kesilapan mudah sebelum gol (Ganago) itu disusuli dua kad merah itu.

"Ini mungkin satu pengajaran yang baik kerana kami juga hilang cengkaman ketika menghadapi Galatasaray sejurus menyumbat gol.

"Untuk menghadapi enam perlawanan yang sengit pada ketika ini, adalah sentiasa bagus untuk kami bermula dengan kemenangan selain kami juga mempamerkan prestasi yang bagus dalam babak pertama."

Nice memulakan babak kedua baik tetapi kad kuning kedua ke atas Wylan Cyprien atas kelakuannya membenarkan PSG untuk kembali menyusun permainan.

"Saya menerima hukuman itu walaupun tidak mempamerkan bantahan dan kekecewaan, saya hanya mempersoalkan pengadil dengan membuat sedikit isyarat sama ada ia ada satu kekasaran," kata Cyprien.

"Pengadil kemudian melayangkan kad kuning kedua kepada saya kerana mendakwa saya membuat isyarat yang terlalu keras biarpun saya menjelaskan kepadanya bahawa saya tidaklah menunjukkan tindakan yang tidak menghormati atau menghinanya.

"Keputusan berkenaan memberi kesan yang besar dan saya tidak pasti jika kami boleh menyamakan kedudukan tetapi pengadil perlulah lebih bertimbang rasa. Saya fikir tindakannya sangat teruk."