Tuah pakai baju Amirul Hamizan
Bernama
April 6, 2018 10:15 MYT
April 6, 2018 10:15 MYT
Siapa sangka, mengenakan baju yang dipakai bekas atlet angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim ketika meraih pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester, memberi tuah kepada skuad angkat berat negara untuk merebut dua pingat emas pada edisi di Gold Coast, semalam.
Dua atlet muda negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin, yang bergilir-gilir memakai baju berwarna biru dan hitam milik Amirul Hamizan, yang juga pengurus pasukan, seperti mengambil semangat untuk masing-masing meraih emas dalam acara 56kg dan 62kg lelaki.
"Dah lama atlet minta dengan saya baju yang saya pakai masa di Manchester itu tapi saya simpan. Berbeza dengan kali ini, saya bagi Azroy pinjam dan saya sendiri pun tidak tahu yang Aznil pun akan pakai baju itu," katanya di Carrara Sports and Leisure Centre.
Baju tersebut dipakai Amirul Hamizan ketika melakukan angkatan seberat 260kg di Manchester, yang juga rekod kejohanan selama 16 tahun sebelum dipadamkan oleh Azroy Hazal Wafie, semalam.
Azroy Hazal Wafie memakai baju milik Amirul Hamizan itu pada pertandingan sesi pagi seterusnya pada sesi petang, Muhamad Aznil pula mengambil peluang mengenakan baju itu.
"Saya tengok baju tu ada dalam beg Azroy Hazal Wafie lepas dia menang, jadi saya pun ambil dan pakai. Kalau Azroy pakai boleh menang pingat emas masa pakai baju itu, apa salahnya kalau saya cuba nasib.
"Bagi saya boleh pakai baju juara yang juga idola kami semua seperti kami dapat semangat serta aura juara beliau," kata Muhammad Aznil.
-- BERNAMA
#Amirul Hamizan Ibrahim
#angkat berat
#atlet
#Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad
#baju
#Gold Coast
#idola
#MAnchester
#Muhamad Aznil Bidin
#Sukan Komanwel