TSG yakin mampu pertahan gelaran terbaik Asia
Bernama
Ogos 21, 2023 10:15 MYT
Ogos 21, 2023 10:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yakin mampu mempertahankan gelaran selaku juara Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini.
Dengan berbaki 10 kejohanan sebelum musim 2023 melabuhkan tirainya 25 Okt depan, TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu turut optimis mampu melakar sejarah sebagai pasukan terbaik benua.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi pasukan yang kini sedang menguasai tangga teratas pasukan Asia serta terbaik benua yang diikuti pencabar dari pasukan Medellin, Colombia.
"Ketika ini TSG sedang mendahului di keseluruhan 51 pasukan Asia dan 179 benua. Sementara bagi ranking dunia kami berada di tangga ke-32 daripada 220 pasukan.
"Kami akan cuba pertahankan kedudukan ini hingga akhir musim. Masih ada 10 perlumbaan UCI termasuk di Eropah, China dan Jepun yang bertaraf 2.1, 2.0 dan 2.2 untuk mengutip sebanyak mungkin mata," katanya ketika ditemui semalam.
Selain itu, Nasiruddin berkata TSG juga sedang membuat persiapan rapi untuk menghadapi perlumbaan paling berprestij dalam negara dan bertaraf 2.0 iaitu Le Tour de Langkawi yang dijadualkan pertengahan September depan.
Menurut beliau seramai enam pelumba termasuk tiga tempatan dan tiga import akan dipertaruhkan bagi memenuhi sasaran sekurang-kurangnya satu podium serta mengekalkan satu daripada dua jersi yang dimenangi TSG tahun lalu.
"Sebelum LTdL kita ada perlumbaan di Iran sebagai persiapan terakhir. Terdapat sedikit perubahan pada sasaran berdasarkan laluan yang dibuat.
"Untuk senarai enam pelumba kami akan umum pada majlis 2 Sept depan," katanya.
-- BERNAMA