TSG bakal miliki akademi pelumba basikal sendiri
Sharom Abu Bakar
Mac 14, 2018 06:17 MYT
Mac 14, 2018 06:17 MYT
Akademi Terengganu Pro Asia Cycling Team, TSG bakal mewujudkan akademinya sendiri tidak lama lagi.
Inisiatif yang dilaksanakan itu bagi melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti dan profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata ia sekaligus memberi pendedahan awal kepada bakat muda untuk diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Di Terengganu ramai pelumba-peluma basikal, tetapi sekarang ini mereka tidak diketengahkan malah, tidak ada peluang untuk diketengahkan. Oleh itu kita perlu mewujudkan pasukan pelapis untuk memberi peluang dan pengalaman kepada mereka untuk menyertai acara-acara terutamanya di luar negara", ujar Datuk Rozi.
Jelasnya lagi bagi fasa pertama seramai 30 pelumba dari usia tujuh tahun disasarkan bakal mendapat pendedahan di akademi itu yang berpusat di Kuala Terengganu.
TSG akan mengendalikan akademi tersebut sepenuhnya termasuk modul pelaksanaannya.
Katanya bakat muda itu terus dapat menyambung kesinambungan pelumba berbakat seperti Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif Salleh.