Truck Fighter 1.0 perkukuh solidariti, bakal himpun 5,000 pemilik 4x4

Astro Awani
Mac 1, 2025 18:23 MYT
Truck Fighter 1.0 dianjurkan bagi menghargai peranan komuniti 4×4 dalam kerja-kerja sukarelawan terutama dalam operasi menyelamat ketika bencana banjir. - Foto Truck Fighter
ACARA Truck Fighter 1.0 yang dijadual berlangsung pada 25 Mei depan bakal menghimpunkan lebih 5,000 peserta daripada komuniti pemilik dan peminat kenderaan pacuan empat roda (4×4) seluruh negara.
Program julung kali itu akan turut disertai komuniti 4×4 dari Thailand, dengan pekarangan parkir Stadium Shah Alam, Selangor menjadi venue pilihan.
Penganjur acara, Azmar Zaki Ayub berkata, acara itu, yang dianjurkan oleh Zaki GM Garage bertujuan bagi memperkukuh solidariti dalam kalangan pemilik 4×4.
“Selain itu, ia memberi peluang kepada usahawan bengkel 4x4 untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam masa sama, dia menambah Truck Fighter 1.0 dianjurkan bagi menghargai peranan komuniti 4×4 dalam kerja-kerja sukarelawan terutama dalam operasi menyelamat ketika bencana banjir.
Ujar Azmar, pemilik pacuan empat roda sering menjadi sukarelawan membantu mangsa-mangsa banjir dan dianggap sebagai unsung hero.
“Jika sambutan kali ini memberangsangkan, acara ini bakal dijadikan sebagai acara tahunan bagi merancakkan lagi industri permotoran di Malaysia,” ujarnya.
Antara acara yang menanti peserta adalah pameran dan pertandingan autoshow dengan 21 kategori unik, gerai jualan dan pameran daripada syarikat-syarikat automotif utama serta aktiviti untuk kanak-kanak termasuk pertandingan mewarna.
#Komuniti 4x4 #Truck Fighter 1 0 #banjir
;