Trofi Piala Dunia FIFA kunjungi Malaysia minggu depan

Bernama
Disember 27, 2013 07:00 MYT
Trofi bola sepak berprestij, trofi Piala Dunia FIFA. -AFP PHOTO / VANDERLEI ALMEIDA
Peminat bola sepak tempatan sekali lagi berpeluang melihat dari dekat trofi bola sepak berprestij yang menjadi dambaan dunia, trofi Piala Dunia, yang akan dipamer di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini 5 Jan ini.
Menurut Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Kuala Lumpur antara lokasi persinggahan trofi itu dalam Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014.
Trofi itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 3 Jan dan ini diikuti pelbagai aktiviti yang diatur oleh Coca-Cola, selaku rakan kongsi korporat FIFA.
Ketika ini trofi itu berada di Myanmar dan akan ke Thailand pada Sabtu dan berada di sana selama tiga hari sebelum ke Vietnam (31 Dis hingga 2 Jan).
Kembara trofi itu bermula dari Rio de Janeiro, Brazil, atau secara tepatnya dari lokasi patung Christ the Redeemer, monumen terkenal di bandar raya tersebut, pada 12 Sept lalu.
Jelajahnya meliputi 88 negara dan wilayah, dengan jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 150,000 kilometer dalam tempoh 267 hari sebelum kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia 2014.
#FIFA #Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014 #trofi Piala Dunia
;