Triple Eight JMR raih podium kategori pro-AM

Bernama
April 21, 2024 19:57 MYT
Pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) beraksi ketika menyertai perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Jordan Love daripada Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) menamatkan saingan di kedudukan podium bagi kategori pro-AM pada perlumbaan kedua GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Ia susulan pasukan Absolute Racing dipandu Anthony Liu yang sepatutnya berada di tempat ketiga diberikan penalti tambahan masa sebanyak 33 saat mengheret ke kedudukan keenam.
Kejayaan hari ini membolehkan pasukan Triple Eight JMR menduduki tempat keempat keseluruhan daripada 33 pasukan bertanding.
Pada perlumbaan kedua hari ini, Tunku Abu Bakar dan Love menamatkan saingan di tempat keempat dengan mencatat satu jam 55 saat selepas melengkapkan 27 pusingan, memperbaiki kedudukan ke-10 yang diraih pada perlumbaan pertama, semalam.
Berlumba menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, Love mengekalkan kedudukan kelima sepanjang 30 minit perlumbaan sebelum Tunku Abu Bakar mengambil alih jentera.
Berbaki 15 minit sebelum perlumbaan tamat, Tunku Abu Bakar menampilkan pemanduan hebat untuk menamatkan saingan di tempat keempat kategori Pro-Am.
Tempat pertama kategori itu dimenangi pasukan Origine Motorsports yang dipandu Lu Wei bersama gandingannya Heirich Laurin (1:00:27.782s) diikuti Craft Bamboo Racing (1:00:27.929s) yang dipandu Cao Qi dan Morad Daniel kedua.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan puteranya Tunku Abu Bakar beraksi pada perlumbaan berprestij itu.
-- BERNAMA
#Triple Eight Johor Motorsports Racing #Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim #kedudukan podium
;