Trio pecut kini intai pingat Sukan Asia

Bernama
Jun 16, 2023 05:20 MYT
Dari kiri Muhammad Fadhil Zonis, Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan Sharom bergambar bersama pingat Gangsa yang diraih pada acara Men Elite Team Sprint pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023. - Gambar BERNAMA
NILAI: Trio pecut berpasukan negara kini mengintai pingat pada temasaya Sukan Asia Hangzhou, China, September ini, selepas berjaya meraih gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional Nilai, di sini, pada Rabu.
Kombinasi Muhammad Fadhil Mohd Zonis, 25, Muhammad Ridwan Sahrom, 22, dan Umar Hasbullah, 20, yang baru dibentuk, telah pun mendapat kepercayaan ketua jurulatih negara, John Beasley, untuk beraksi di Sukan Asia bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Muhammad Ridwan berkata, sekiranya semua berjalan mengikut perancangan Beasley, mereka akan terus bekerja keras untuk memperbaiki teknik dan prestasi bagi mencabar pasukan seperti Jepun dan China di Hangzhou.
"Di Sukan Asia nanti, kita mahu berikan yang terbaik, harap dapat bawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Beasley sebelum ini berkata, beliau tidak akan membariskan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom untuk acara berpecut pasukan di Sukan Asia kerana jadual padat, selain mahu memberikan peluang kepada pelumba muda.
Sebaliknya, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus akan fokus untuk acara pecut dan keirin individu sahaja dalam mengejar mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Pada Rabu, gandingan Muhammad Fadhil, Muhammad Ridwan dan Umar menghadiahkan gangsa acara pecut berpasukan manakala Jepun dan China masing-masing menang pingat emas dan perak. - BERNAMA
#Trio pecut berpasukan negara #pelumba muda #pingat emas #Sukan Asia
;