Trio Casemiro, Eriksen, Fernandes bawa keceriaan

Astro Arena
April 19, 2023 05:15 MYT
Kecemerlangan trio pemain tengah elitnya membuatkan Manchester United seolah-olah tidak mampu dibendung ketika ini. - Foto Astro ARENA
PEMAIN-pemain Manchester United percaya ada tiga pemain bintang yang perlu terus menjadi sandaran pengurus, Erik ten Hag, andainya The Red Devils mengidamkan kesudahan cemerlang musim ini.
Barisan berkenaan kini bersemangat untuk mara dalam Liga Europa selepas seri 2-2 dengan Sevilla dalam perlawanan peringkat pertama suku akhir, minggu lalu.
Selain itu, mereka juga kini di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 59 mata susulan kemenangan 2-0 di Nottingham Forest pada Ahad.
Mana-mana pasukan pun akan terkesan dengan kehilangan tonggaknya -- Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Marcus Rashford – tapi petanda sebuah pasukan yang bagus ialah ia masih mampu mencari jalan kemenangan tanpa mereka.
Kunci kepada itu bukanlah ketiadaan pemain berkenaan tapi kecemerlangan trio pemain tengah elitnya yang membuatkan United seolah-olah tidak mampu dibendung ketika ini.
Didorong oleh kejayaan itu, seperti dilaporkan oleh Talksport, penyokong United menggunakan Twitter untuk menghamburkan pujian buat barisan tengah yang menampilkan rangkaian Christian Eriksen, Bruno Fernandes dan Casemiro.
United tidak pernah menanggung kekalahan apabila ketiga-tiganya bermula bersama-sama dalam kesebelasan permulaan, dengan menang 15 daripada 17 perlawanan di samping seri dua.
Eriksen, yang baru kembali daripada kecederaan, adalah penyertaan lewat ketika berdepan Forest selepas Marcel Sabitzer dinafikan kecederaan sewaktu memanaskan badan.
Apa yang membuat Eriksen sangat berkesan ialah dia berada di ‘gelombang’ yang sama dengan rakan-rakan barisan tengahnya.
Fernandes, tanpa dapat disangkal, terus menjadi pendorong utama dalam pemburuan United terhadap tempat dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.
Memainkan peranan penting ketika berdepan Forest, pemain antarabangsa Portugal berusia 28 tahun itu melorongkan umpanan untuk gol pertama United yang disudahkan Antony.
Dia juga mencipta enam peluang menjaringkan gol dan hanya dinafikan jaringan oleh ketangkasan penjaga gol Forest, Keylor Navas.
Fernandes adalah seorang daripada hanya dua pemain – sejak membuat penampilan pertama dalam antara lima liga utama Eropah pada Februari 2020 – yang mencatat 50 gol dan 50 bantuan jaringan merentasi semua pertandingan selepas Lionel Messi (80 gol, 59 bantuan jaringan).
United, bagaimanapun, akan ketiadaan Fernandes dalam perlawanan timbal-balik Liga Europa di Sevilla pada pertengahan minggu dalam mengejar sasaran untuk meneruskan kemaraan.
Casemiro, di sebalik dikatakan tidak lagi sepantas ketika bersama Real Madrid sebelumnya, turut berperanan penting dalam kebangkitan United sejak perpindahannya yang bernilai £80 juta (RM440.3 juta) musim panas lalu.
Pemain antarabangsa Brazil itu, yang baru kembali daripada penggantungan, telah membina reputasi sebagai pemain yang paling boleh diharapkan untuk menawarkan perlindungan tambahan kepada barisan pertahanan daripada fungsi yang dimainkannya.
Semua ini membawa kepada maksud apabila ketiga-tiga Casemiro, Eriksen dan Fernandes cergas sepenuhnya, United dapat berbangga dengan barisan tengah yang sealiran dengan pemikiran Ten Hag dalam mencorakkan serangan.
Pengurus berbangsa Belanda itu sentiasa mahukan penguasaan bola dan menuntut pemain-pemain agar berkeyakinan ketika bola di kaki mereka.
Mereka bukan saja ditagih untuk mampu mengutip hantaran rakan tapi juga mengetahui detiknya untuk berbuat demikian – ketenangan dinilainya sama berharganya dengan kreativiti.
Jika itu dapat diteruskan, harus tidak ramai yang meragui United menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas musim ini.
#Manchester United #pemain barisan tengah #Liga Europa #Erik ten Hag
;