Trio boling padang wanita negara mara ke separuh akhir
Bernama
Ogos 4, 2022 07:45 MYT
Ogos 4, 2022 07:45 MYT
BIRMINGHAM: Trio boling padang negara menampilkan aksi bertenaga untuk melangkah ke separuh akhir acara triples wanita, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa di sini pada Khamis.
Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad, mara dalam saingan kelompok empat terbaik itu selepas menewaskan pasukan Wales 25-22.
Pada peringkat separuh akhir hari ini (Jumaat), pasukan wanita negara akan berdepan gandingan New Zealand Nicole Toomey, Tayla Bruce dan Val Smith.
Skuad boling padang kebangsaan juga cemerlang apabila pasangan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji bermula baik Khamis, apabila menewaskan pasangan adik beradik dari Malta Rebecca Louise Rixon dan Connie-Leigh Rixon, 20-16 dalam aksi ketiga peringkat Kumpulan A.
Namun, pada perlawanan keempat peringkat kumpulan menentang wakil Norfolk Island Shae Wilson dan Carmen Anderson, pasangan negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Ausralia, tumpas 17-22.
Biarpun kalah dalam aksi keempat Kumpulan A itu, Siti Zalina-Emma Firyana yang sebelum ini merekodkan dua kemenangan, berjaya melangkah ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan A, dan akan bertemu pasangan Ireland Utara (Northern Ireland) Megan Devlin-Shauna O'Neill di suku akhir hari ini.
Nasib sama turut dialami Fairul Izwan Abd Muin dalam acara singles lelaki.
Selepas mencatat dua kemenangan sebelum ini, pemain perseorangan lelaki negara itu kalah pada perlawanan ketiga di tangan atlet Namibia Carel Aron Olivier 12-21, namun bangkit pada perlawanan terakhir kumpulan dengan menewaskan pemain tuan rumah, Jamie Walker 21-8.
Di peringkat suku akhir, Fairul Izwan yang menduduki tempat teratas Kumpulan C setelah mengumpul sembilan mata, akan berhadapan atlet Jersey Ross Davis.
-- BERNAMA