Triatlon: Kejayaan ini khas untuk mendiang ayah - Sue Ling

Astro Arena
September 1, 2018 12:33 MYT
Mendiang bapa dan tarikh 31 Ogos jadi pembakar semangat Teoh Sue Ling. - Astro Arena
TARIKH 31 Ogos bukan sahaja mengingatkan atlet triatlon negara, Teoh Sue Ling, kepada tarikh ulang tahun kemerdekaan negara, malah turut mengimbau emosi pemergian mendiang ayahnya yang genap 10 tahun.
Meskipun bukan kedudukan podium, dia tetap berbangga dapat menghabiskan perlumbaan triatlon di kedudukan ke-16 daripada 22 peserta untuk penampilan pertamanya dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang.
Ia merupakan pencapaian terbaik buat dirinya dan dia ingin mendedikasikan perlumbaan ini kepada mendiang ayahnya, Teoh Keng Song, yang meninggal dunia pada 2008 kerana serangan jantung.
Baginya, hanya ingatan terhadap mendiang menjadi penguat semangat kepada Sue Ling untuk meneruskan perlumbaan yang mencabar ini yang membabitkan renangan sejauh 1.5km, berbasikal 40km dan berlari 10km.
"Kami sudah bekerja keras untuk membuat persiapan dan saya tidak mahu mensia-siakannya.
"Saya hanya mahu buat yang terbaik supaya saya boleh katakan saya berjaya melakukannya.
"Lagipun, hari ini adalah tarikh ayah saya meninggal dunia.
"Ia sukar buat saya pada penghujung perlumbaan.
"Saya amat merinduinya dan kejayaan ini adalah untuknya juga," katanya.
Seorang lagi peserta negara, Irene Chong, pula mengakui perlumbaan di Palembang adalah yang paling sukar sejak berkecimpung dalam sukan ini pada 2009. Suhu yang mencecah sekitar 32 darjah Celsius ternyata sukar untuk mana-mana atlet meneruskan perlumbaan, terutama disiplin berlari 10km.
Buktinya, empat peserta tidak dapat bertahan dengan keadaan cuaca sedemikian dan gagal menghabiskan saingan, antaranya Jeong Hye Rin dari Korea Selatan dan Yuka Sato dari Jepun.
"Cuaca di sini amat buruk. Contohnya dalam disiplin berlari, langsung tiada pokok dan air minuman sepanjang laluan.
"Anda seperti bertanding dengan diri sendiri dan mental," katanya.
#atlet negara #Jakarta-Palembang #kemerdekaan negara #Sukan Asia #teoh sue ling #triatlon
;