Triathlon: Atlet kelahiran Sabah bawa cabaran sulung negara ke Slovakia
Radhi Muslim
Ogos 27, 2021 12:31 MYT
Ogos 27, 2021 12:31 MYT
SANDAKAN: Seorang atlet triathlon kelahiran Sabah menjadi peserta sulung dan tunggal negara ke Kejohanan Dunia ‘World Middle Distance Traithlon Championship Samorin’, yang akan diadakan di Slovakia, Ahad ini.
Yatim Zainal Abidin, 45, berjaya melayakkan diri ke kejohanan terbesar dunia itu selepas dia mendapat tempat 10 terbaik dalam kejohanan bertaraf antarabangsa yang diadakan di Malaysia sebelum ini.
Katanya, ini merupakan kejohanan pertama Eropah yang akan disertainya dan dia sangat teruja kerana layak ke kejohanan berkenaan.
Namun, dia berdepan cabaran besar ketika membuat persediaan sebelum ini.
Ini kerana, sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun lalu, dia terpaksa menjalani latihan dalam bangunan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Ini katanya merupakan cabaran besar kepadanya bagi mengekalkan kecergasan.
"Latihan saya melibatkan berenang, berbasikal dan berlari. Masa saya berenang pun tempat tidak terhad, ada di laut dan di kolam.
"Untuk latihan berbasikal, saya selalu lakukannya di tempat yang berbeza meliputi kawasan berbukit dan kawasan rata. Begitu juga untuk latihan berlari, ada kalanya di stadium, di tepi pantai dan di kawasan berbukit," katanya.
Namun cabaran dihadapinya tidak hanya berakhir sebaik tiba di Slovakia minggu lalu berikutan keadaan cuaca sejuk yang jauh berbeza dengan Malaysia.
"Kejohanan seperti ini tertumpu kepada dua perkara iaitu persiapan secara fizikal dan juga mental.
"Ini termasuk keadaan cuaca. Ketika ini suhu di Slovakia di bawah 23 darjah Celsius dan dalam air di bawah 20 darjah Celsius.
"Ini akan memberi kejutan kepada badan saya. Itu sebab saya tiba di Slovakia dua minggu sebelum kejohanan berlangsung bagi melengkapkan persiapan saya," katanya.
Yatim yang juga seorang jurulatih renang berkata, setakat ini dia sukar untuk menyatakan jika dia telah mengadaptasi sepenuhnya dengan keadaan cuaca di situ.
Dalam kejohanan berkenaan, setiap peserta perlu berenang sejauh 1.9 kilometer dan kemudian berbasikal sejauh 90 kilometer sebelum berlari sejauh 21 kilometer.
Yatim yang berasal dari Membakut, Sabah, pernah menjuarai triathlon Samarahan bagi kategori 40 tahun ke atas dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.