Trek Berlin: Azizulhasni raih pingat gangsa

Fauzi Suhaimi
Februari 28, 2020 09:20 MYT
Pemenang acara keirin Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Berlin, dari kiri, Yuta Wakimoto dari Jepun (perak), Harrie Lavreysen dari Belanda (emas) dan Azizulhasni bergambar di podium, 27 Feb, 2020. REUTERS
Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang memenangi pingat gangsa dalam acara final keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman, pada Khamis.
Beliau yang terkenal dengan nama 'The Pocket Rocketman' berjaya menaiki podium itu, membuktikannya berada di landasan tepat untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pingat gangsa yang diraihnya di Olimpik Rio 2016 pada Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.
Pingat emas dalam perlumbaan itu diraih pelumba Belanda, Harrie Levreysen yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 9.861 saat manakala pelumba Jepun, Yuta Wakimoto menduduki tempat kedua.
Ini kali ketiga Azizulhasni meraih gangsa dalam acara keirin Kejohanan Dunia, selepas melakukannya di Yvelines (2015) dan London (2016).
Pencapaian terbaik Azizulhasni di kejohanan ini adalah meraih emas di Hong Kong pada 2017.
#Azizulhasni Awang #Belanda #Berlin #Harrie Lavresyen #Jepun #Jerman #keirin #Kejohanan Dunia Berbasikal Trek #trek basikal #Yuta Makimoto
;