TPM peruntuk RM500,000 bagi kejohanan Muay Thai antarabangsa tahun depan

Bernama
November 16, 2015 09:50 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyaksikan perlawanan akhir Pertandingan Kuda Merah Muaythai Antarabangsa 2015 di Stadium Titiwangsa pada Ahad. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi penganjuran kejohanan antarabangsa sukan Muay Thai berskala besar tahun depan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kejohanan tersebut dilihat berpotensi menjadi antara sukan berprestij negara apabila berjaya menarik kehadiran penonton.
"Kita akan biayai RM500,000 untuk kejohanan tahun depan, kita harap hadiah lebih besar dari penaja-penaja," katanya ketika merasmikan Pertandingan Akhir Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Kuda Merah 2015 di sini malam ini.
Kejohanan kali keempat itu adalah anjuran Kelab Muay Thai Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Seramai 24 peserta dari dalam dan luar negara, kebanyakan dari Thailand, berentap selama dua hari mulai semalam bagi merebut 12 gelaran (tali pinggang).
Gelaran utama yang menjadi rebutan adalah tali pinggang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain tali pinggang Datuk Siti Nurhaliza dan Tali Pinggang Sinar Harian.
#Ahmad Zahid Hamidi #Kuda Merah #Muay Thai #PDRM #peruntukan
;