TPM Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Sze Fei-Nur Izuddin juarai Terbuka Artik

Bernama
Oktober 13, 2024 07:20 MYT
Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin atas kejayaan mereka menjuarai Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland. - Foto Facebook/Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei - Nur Izzuddin atas kejayaan mereka menjuarai Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pemain itu mempamerkan semangat luar biasa dengan bangkit selepas tewas 15-21 pada set pertama sebelum menang 21-15, 21-19 ke atas pasangan ranking dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark
"Perlawanan yang sungguh mendebarkan namun kebangkitan #FeiDin menyuntik semangat juang yang tinggi dan inspirasi buat kita semua. Well done, boys! Saya doakan lebih banyak kejayaan buat anda berdua," katanya menerusi hantaran itu.
Pada aksi akhir di Energia Areena, Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan prestasi cemerlang untuk merangkul gelaran ketiga mereka tahun ini, sekali gus meranapkan hasrat pasangan Denmark berkenaan untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan Super 500 itu.
Kemenangan hari ini membolehkan mereka melengkapkan koleksi gelaran di semua empat peringkat Jelajah Dunia (Super 300, Super 500, Super 750 dan Super 1000), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM142,192) manakala pasangan Denmark menerima AS$15,960 (RM 68,396).
Ia juga kejayaan ketiga mereka musim ini selepas muncul juara Terbuka Jepun Ogos lalu dan Terbuka China, bulan lepas.
- BERNAMA
#beregu lelaki #Goh Sze Fei - Nur Izzuddin #Terbuka Artik 2024 #Ahmad Zahid Hamidi
;