Tottenham tidak perlu bermegah kepalai EPL, kata Nuno
Astro Arena
Ogos 29, 2021 06:18 MYT
Ogos 29, 2021 06:18 MYT
TOTTENHAM 1 WATFORD 0
Nuno Espirito Santo berkata penguasaan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini tidak membawa sebarang erti selepas Tottenham mengekalkan permulaan sempurna dengan kemenangan 1-0 ke atas Watford, malam tadi.
Son Heung-min membuat penampilan liga ke-200 dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma ketika mengumpan bola ke dalam kotak penalti dalam separuh masa pertama di Stadium Tottenham Hotspur.
Gol penyerang Korea Selatan itu melonjak kelab utama London berkenaan ke puncak, lalu menjulang Nuno sebagai pengurus kedua yang memenangi ketiga-tiga perlawanan liga pertamanya dalam sejarah tuan rumah -- Arthur Rowe melakukannya kali pertama pada 1949.
Tottenham juga mendominasi tiga perlawanan pembukaan liga tanpa dibolosi sebarang gol buat julung kalinya dalam sejarah penubuhan mereka tetapi Nuno -- yang menyaksikan pasukannya hanya menyumbat tiga gol -- tidak mahu terbawa-bawa atas kejayaan awal di bawah sentuhannya.
Ketika ditanya tentang situasi pasukannya menjelang perlawanan antarabangsa, Nuno berkata: "Ia langsung tidak membawa sebarang makna.
"Saya menuntut semua pihak, bukan setakat pemain malah peminat kami sendiri supaya tidak mengambil pusing sangat. Usah berikan perhatian tinggi. Ayuh terus berusaha, kami masih mempunyai jalan yang panjang dan banyak lagi aspek untuk diperbaiki."
Nuno terpesona dengan corak permainan pasukannya ke atas The Hornets, tetapi tetap menuntut barisan tonggaknya agar lebih berbisa ketika menerajui puncak -- Spurs melancarkan lapan percubaan tepat ke sasaran.
Menurutnya lagi: "Apa yang menggembirakan saya ialah ketika kami tidak dapat membunuh perlawanan sedangkan kami memiliki peluang untuk melakukannya, fikiran kami masih tidak goyah dengan kami tetap bersatu dan terus kompak. Kami tidak membiarkan terlalu banyak peluang buat Watford.
"Ini bagus. Keseimbangan di antara kedua-dua aspek ini bagus dan pada akhirnya, cara kami menguruskan pertemuan ini.
"Tentang apa yang yang saya tidak gemari: kami seharusnya lebih klinikal, saya rasa kami mempunyai pemain yang cukup berkualiti dan berbakat untuk membunuh perlawanan ini."
Nuno juga tidak menolak untuk melepaskan duo Argentina, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero, ke Amerika Selatan bagi tugasan antarabangsa walaupun mereka perlu dikuarantin selama 10 hari sebaik mereka kembali ke United Kingdom.
"Kami berusaha untuk menjangkakan kepincangan yang bakal dihadapi, kami sedang mengatasinya," kata Nuno lagi.