Tottenham kini pencabar kejuaraan di bawah Mourinho - Guardiola

Astro Arena
November 21, 2020 10:27 MYT
Mourinho (kanan) tewas 10 daripada 24 pertemuannya dengan Guardiola (kiri) dalam kesemua kejohanan - rekod paling banyak berbanding ketika bertemu pengurus lain.
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, percaya Tottenham kini merupakan pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil usaha "yang amat baik" dilakukan Jose Mourinho.
Spurs kini berada di tangga kedua liga divisyen utama England itu dan tidak pernah tewas sebanyak tujuh perlawanan sejak kekalahan kepada Everton dalam aksi pembukaan musim ini.
Tottenham akan menantikan kunjungan City awal pagi esok dan memburu rekod empat kemenangan berturut-turut dalam liga, yang kali terakhir dilakukan pada Februari 2019 bersama Mauricio Pochettino.
Semalam genap setahun Mourinho mengambil alih pasukan itu daripada Pochettino dan Guardiola kagum dengan apa yang telah dilakukan seteru masa lalunya itu di London.
"Dia telah melakukannya dengan amat baik, seperti kebiasaan bersama kelab yang dibimbingnya," kata Guardiola dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Nombornya sudah membuktikan segala-galanya. Mereka keciciran mata ketika bertemu West Ham dan Newcastle pada minit terakhir -- bayangkan mata yang dimiliki mereka jika ia tidak berlaku.
"Mereka pesaing. Mereka sentiasa mempunyai kualiti. Mereka layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk empat atau lima tahun dan sampai ke final.
"Mereka pasukan yang baik sejak Pochettino mengambil alih. Ia pasukan yang hebat," katanya.

#THFC #COYS pic.twitter.com/wuWhRhrSof

— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) November 20, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
City tewas dua pertemuan dengan Spurs di Stadium Tottenham Hotspur dalam kesemua kejohanan, termasuk kalah 0-2 musim lalu.
Dengan hanya mengumpulkan 12 mata daripada tujuh perlawanan liga musim ini, ia merupakan rekod terburuk sepanjang Guardiola bergelar pengurus tetapi jurulatih Catalan berkenaan menegaskan pasukannya sedang berkembang dengan baik.
"Kami semakin baik," katanya menggambarkan pertemuan terakhir dengan Tottenham sembilan bulan lalu.
"Tetapi saya tidak mahu fokus kepada Tottenham -- mereka bukan kegusaran saya. Kami mempunyai banyak perlawanan yang akan tiba dan amat penting untuk kami memastikan kesemua pemain kembali cergas."
Mourinho tewas 10 daripada 24 pertemuannya dengan Guardiola dalam kesemua kejohanan - rekod paling banyak berbanding ketika bertemu pengurus lain.
Guardiola, yang melanjutkan kontraknya bersama City selama dua tahun semalam, hanya mempunyai rekod lebih baik ketika bertemu Manuel Pellegrini (12).
#Tottenham Hotspur FC #Manchester City #Pep Guardiola #Jose Mourinho #Mauricio Pochettino
;