Tottenham beraksi malas hingga tewas kepada Everton, kata Mourinho
Astro Arena
September 14, 2020 09:39 MYT
September 14, 2020 09:39 MYT
JOSE Mourinho merungut dengan mengatakan bahawa Tottenham Hotspur malas untuk melakukan tekanan sehingga tewas 0-1 kepada Everton dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) di London lewat malam tadi.
Dominic Calvert-Lewin menanduk masuk gol tunggal perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu ketika Spurs kelihatan bergelut untuk memulakan musim baru mereka.
Terdapat beberapa percubaan dilancarkan selepas penjaga gol Everton, Jordan Pickford, terpaksa melakukan dua aksi menyelamat getir dalam babak pertama tetapi Mourinho berasakan Tottenham telah memberikan laluan yang terlalu mudah buat lawan yang berbelanja besar itu.
"Sejujurnya, kami bergelut bermula dengan cara kami melakukan hantaran atau saya boleh katakan daripada cara kami tidak melakukan tekanan," katanya kepada Sky Sports.
"Tekanan yang kami berikan amat-amat buruk. Saya boleh katakan ia tekanan yang malas.
"Dan apabila anda melakukan tekanan dengan malas, anda tidak memberikan tekanan dan membenarkan pihak lawan mengatur gerak dari bawah dan mereka mempunyai pemain dengan kualiti yang luar biasa.
"Apabila anda membenarkan mereka bermain dari bawah, mereka amat selesa untuk memegang bola," katanya.
Mourinho, bagaimanapun, menjelaskan bahawa perkataan malas itu tidak ditujukan kepada pemainnya dengan menambah: "Malas melakukan tekanan di depan. Itulah yang saya maksudkan. Ia menciptakan situasi yang tidak stabil buat keseluruhan pasukan ini."