Tonton MMA jika mahu lihat seseorang disepak terajang - Neymar

Astro Arena
April 27, 2019 11:26 MYT
Di sebalik corak gerakan yang menarik, Neymar tidak pernah jauh daripada kritikan, dengan sesetengahnya mendakwa dia seorang pemain yang tidak menghormati lawan. - Foto Astro Arena
BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, menggesa pengkritiknya untuk menonton seni bela diri campuran (MMA) jika mahu melihat seseorang ditendang.
Segelintir pemain dalam dunia bola sepak memiliki kemahiran seperti Neymar, yang berjaya mengetengahkan corak permainannya ke pentas Eropah selepas mempermainkan pertahanan di Brazil bersama Santos.
Penyerang itu menyerlah di Barcelona dan melakukan perkara yang sama di PSG walaupun dia mengalami dua kecederaan kaki yang serius.
Di sebalik corak gerakan yang menarik, Neymar tidak pernah jauh daripada kritikan, dengan sesetengahnya mendakwa dia seorang pemain yang tidak menghormati lawan di samping sering menjatuhkan badan untuk mendapatkan perhatian pengadil.
Kombinasi dua perkara itu menyaksikan Neymar tidak diberikan layanan yang baik daripada barisan pertahanan dan dia menggesa penyokong menikmati permainan yang menarik, bukan melihat pemain untuk ditendang.
"Mungkin cara saya bermain, ia membuatkan pertahanan lawan berang," kata Neymar.
"Namun, ramai yang mula melihat bermain secara kasar, melakukan terjahan ke atas pemain adalah sesuatu yang betul, berbanding mereka yang menggelecek bola.
"Kualiti terbaik saya adalah cara saya mengawal bola. Saya tidak pernah mahu berhenti bermain dengan cara ini.
"Gaya permainan saya telah membawa penyokong membanjiri stadium. Tiada siapa yang hadir untuk melihat pemain ditendang. Jika anda mahukannya, anda boleh menonton MMA atau tinju."
#barcelona #Mixed Martial Arts #MMA #Neymar #Paris Saint-Germain #pemain Brazil #PSG
;