Toni Kroos wira kebangkitan Jerman

Ian Johan Ariff
Jun 23, 2018 05:36 MYT
Toni Kroos meraikan gol kedua Jerman di Stadium Fisht, Sochi, Rusia, 23 Jun, 2018. - REUTERS
Toni Kroos menjadi wira Jerman apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan untuk mencerahkan peluang pasukannya mara ke pusingan kalah mati.
Walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain, Jerman selaku juara bertahan membuktikan mereka mampu bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sweden 2-1.
Jurulatih Jerman, Joachim Low membuat empat pertukaran pada barisan kesebelasan utama yang tewas 0-1 kepada Mexico dalam perlawanan pertama.
Ia menyaksikan Sami Khedira digantikan dengan Sebastian Rudy di bahagian pemain tengah bertahan dan Antonio Rudiger menggantikan Matt Hummels yang cedera di bahagian pertahanan tengah.
Di bahagian serangan pula Marco Reus dimasukkan bagi menggantikan Mesut Ozil, sekali gus menyaksikan Julian Draxler bermain di belakang penyerang muda, Timo Werner.
Bagaimanapun Jerman memilih laluan sukar untuk mara apabila Sweden memanfaatkan kesilapan hantaran Kroos untuk berada di depan menerusi Ola Toivonen pada minit ke-32.
Low sekali lagi melakukan pertukaran taktikal dalam babak kedua dengan memasukkan Mario Gomez yang menggantikan Draxler.
Percaturan itu ternyata berhasil apabila Gomez mencipta peluang kepada Reus untuk menjaringkan gol penyamaan kurang tiga minit permainan bersambung dalam babak kedua.
Usaha Jerman untuk mencari gol kemenangan seakan terbantut apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke-82, selepas pemain pertahanan mereka Jerome Boateng dibuang padang.
Boateng menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Sweden, Marcus Berg.
Namun Low sekali lagi membuktikan dia masih lagi berhak menjadi jurulatih skuad Die Mannschaft dengan melakukan pertukaran yang memberi impak yang positif dalam memantapkan lagi serangan skuad bimbingannya.
Kemasukan pemain muda Julian Brandt bagi menggantikan Hector tiga minit sebelum tamat menyaksikan Jerman berjaya melancarkan serangan berbahaya dari kiri padang yang menyaksikan Brandt melancarkan beberapa serangan berbahaya dari bahagian kiri.
Brandt juga hampir menemui gawang dua minit dalam masa kecederaan namun tendangannya dari jarak jauh terkena tiang.
Penantian Jerman untuk mendapatkan gol kemenangan berakhir pemain tengah Sweden, Jimmy Durmaz menjatuhkan Werner di bahagian kiri kawasan gol mereka.
Pakar set-piece Jerman, Kroos tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan merembat masuk gol kemenangan Jerman hasil sepakan percuma tersebut.
Perlawanan tamat 2-1 memihak kepada Jerman dan mereka kini berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati jika menewaskan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 27 Jun, jam 10 malam.
#Jerman #Joachim Low #Piala Dunia #Sweden #Toni Kroos #World Cup
;