Tonggak Piala Presiden bantu Kelantan benam UKM
Astro Arena
Ogos 22, 2020 05:33 MYT
Ogos 22, 2020 05:33 MYT
KELANTAN mengetepikan masalah di luar padang apabila membelasah UKM FC 5-1 dalam aksi Liga Perdana yang kembali bersambung selepas dibelenggu krisis COVID-19.
Perlawanan keempat di bawah norma baru musim ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang Sabtu itu menyaksikan Muhamad Hakimi Abdullah menjadi buah mulut apabila melakar hatrik.
Menariknya, posisi asal tonggak Piala Presiden pasukan itu adalah di bahagian sayap, namun tetap unggul meskipun dipertaruhkan sebagai bek kiri ketika bertemu skuad kendalian Sulaiman Hussin berkenaan.
Dia membuka tirai jaringan perlawanan menerusi sepakan percuma pada minit ke-19 sebelum Akanni Sunday Wasiu menerusi sepakan penalti mengimbangi permainan buat UKM sebelum menuju bilik persalinan.
Begitupun, anak buah Yusri Che Lah itu tampil lebih menyerlah dalam babak kedua yang menyaksikan empat gol lagi terhasil.
Hakimi sekali lagi memainkan peranan penting untuk membawa pelawat kembali di depan pada minit ke-51 sebelum Felix Odili menokok dua jaringan lagi.
Kelantan akhirnya menutup pesta gol mereka yang menyaksikan Hakimi melengkapkan kejayaan hatriknya ketika permainan berbaki seminit lagi untuk mereka pulang ke Kota Bharu dengan tiga mata biarpun dihimpit masalah gaji selain kekangan kewangan yang memaksa mereka membuat perjalanan yang memenatkan ke ibu kota.
#bola sepak
#COVID-19
#gaji
#hatrik
#kekangan kewangan
#Kelantan
#Liga Perdana
#Muhamad Hakimi Abdullah
#norma baharu
#pesta gol
#sepakan percuma
#Stadium Majlis Perbandaran Selayang
#tunggakan
#UKM FC
#Yusri Che Lah