Tola dari Ethiopia rangkul emas maraton lelaki dengan rekod Olimpik baharu
Bernama
Ogos 10, 2024 21:51 MYT
Ogos 10, 2024 21:51 MYT
PARIS: Pelari Ethiopia Tamirat Tola memecahkan rekod Olimpik untuk merangkul emas maraton lelaki di temasya Sukan Olimpik Paris pada Sabtu, lapor Xinhua.
Tola melepasi garisan penamat dengan catatan masa 2:06:26, mengatasi rekod Sukan Olimpik sebelum ini iaitu 2:06:32 oleh Samuel Wanjiru dari Kenya di Sukan Olimpik Beijing 2008.
Bashir Abdi dari Belgium meraih perak dengan catatan 2:06:47 dan gangsa Benson Kipruto dari Kenya yang merekodkan 2:07:00.
"Saya berlatih bersungguh-sungguh untuk Olimpik. Ini adalah pencapaian terbesar dalam hidup saya," kata Tola selepas perlumbaan.
Percubaan Eliud Kipchoge untuk menjadi lelaki pertama memenangi maraton Olimpik tiga kali berakhir dengan kekecewaan apabila pelari Kenya itu gagal menamatkan perlumbaan kerana kecederaan belakang.
Seorang lagi atlet yang tidak dijangkakan ialah juara Olimpik tiga kali Ethiopia Kenenisa Bekele. Atlet berusia 42 tahun itu, yang memenangi dua acara 5,000-10,000m di Beijing 2008 dan 10,000m di Athens 2004, hanya mampu menduduki tempat ke-39.
"Orang ramai telah bercakap tentang saya dan Kipchoge, tetapi anda lihat kebangkitan generasi muda hari ini. Orang-orang ini lebih kuat daripada kami," kata Bekele.
Tola hampir tidak mengambil bahagian dalam maraton, setelah terlepas senarai penyertaan asal Ethiopia untuk acara itu.
Bagaimanapun, dia dimasukkan ke dalam pasukan pada bulan Julai berikutan kecederaan rakan senegaranya Sisay Lemma.
"Saya adalah simpanan, tetapi saya bersedia sepenuhnya dan tahu saya boleh memenuhi impian saya," kata pemain berusia 32 tahun itu.
Ini merupakan pingat Olimpik kedua Tola, selepas dia meraih gangsa dalam acara 10,000m di Sukan Rio 2016.
-- BERNAMA