Tokyo serahkan baton kepada Perancis selaku tuan rumah Olimpik 2024
Faris Danial Razi
Ogos 8, 2021 21:53 MYT
Ogos 8, 2021 21:53 MYT
KUALA LUMPUR: Tokyo pada Ahad menyerahkan baton kepada Paris yang bakal menjadi tuan rumah dalam menganjurkan acara temasya Sukan Olimpik pada tahun 2024.
Di sebalik kontroversi dan juga kekhuatiran yang berlaku di negara matahari terbit itu, upacara penutupan yang bermula pada jam 7 petang Ahad itu berlangsung dengan sederhana, namun bermakna.
Walaupun hanya kontinjen negara dan mereka yang terpilih sahaja dibenarkan memasuki stadium, upacara itu tetap ditampilkan dengan beberapa aksi persembahan termasuk tarian.
Sama sewaktu hari pembukaan Olimpik pada 23 Julai lalu, Stadium Tokyo dihiasi dengan sinaran lampu dan persembahan mercun serta bunga api yang menakjubkan sebagai istilah melabuhkan tirai.
Acara bersejarah itu diisyitihar tamat oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach yang turut mengakui penganjuran Olimpik di Tokyo itu adalah satu perjalanan yang paling mencabar.
Setelah ditangguhkan selama setahun, para penganjur menyifatkan bahawa sukan akan menjadi simbol kemenangan dunia ketika wabak COVID-19.
Diadakan tanpa penonton dan dengan varian COVID-19 yang berisiko tinggi, temasya itu mengakibatkan kerugian yang cukup besar dan penuh cabaran.
Jepun dilaporkan telah membelanjakan sehingga AS$15.4 bilion (RM65 bilion) demi merealisasikan tanggungjawab sebagai tuan rumah, yang juga rekod termahal dalam sejarah penganjuran.
Manakala untuk tempoh yang sama sewaktu acara penutupan, ribuan peminat sukan di Paris menyambut baik penyerahan bendera Olimpik ke Perancis yang menandakan mereka adalah penganjur seterusnya.