Tokyo 2020: Viktor Axelsen bukti keunggulan gondol emas nafi juara bertahan
Astro Arena
Ogos 2, 2021 23:15 MYT
Ogos 2, 2021 23:15 MYT
VIKTOR Axelsen mengetepikan juara bertahan, Chen Long, untuk menggondol pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan kemenangan 21-15, 21-12, malam ini.
Pemain Denmark itu mempamerkan kelincahannya dari awal hingga akhir permainan untuk menyudahkan pertarungan selama 51 minit selepas mendominasi set pertama dengan aksi luar biasa yang menyebabkan Chen Long sentiasa bergelut.
Pencabar dari China berusia 32 tahun itu pada awalnya dijangka bangkit dalam set kedua seperti yang sering dipamerkan dalam edisi di Jepun kali ini, sebaliknya Axelsen tetap kental di setiap sudut gelanggang untuk memuktamadkan perlawanan.
Axelsen sememangnya berhak mengecapi kejayaan ini berikutan tidak pernah tercicir sebarang set dalam merintis emasnya.
Dia juga muncul pemain terbaik dunia musim ini dengan memenangi tiga gelaran dalam siri Terbuka Thailand dan juga Terbuka Switzerland, awal tahun ini.
Selain itu, dia juga membuat penampilan dalam perlawanan akhir Seluruh England, Final Jelajah Dunia 2020 dan Kejuaraan Eropah.
Dalam perebutan pingat gangsa pula, impian Kevin Cordon tidak berakhir dengan kisah dongeng selepas pemain Guatemala itu tumpas 11-21, 13-21 kepada Anthony Ginting dari Indonesia.
Sang Garuda turut meraih emas dalam beregu wanita menerusi Greysia Polli-Apriyani Rahayu, yang mengalahkan gandingan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 21-19, 21-15 dalam masa 57 minit.
Ia adalah emas bersejarah kerana negara itu tidak pernah menang dalam beregu wanita.
Kim So-yeong-Kong Hee-yong membawa pulang gangsa selepas menewaskan rakan senegara, Lee So-hee-Shin Seung-chan, 21-10, 21-17.