Tokyo 2020: Tingkatkan penglibatan atlet dalam acara sukan berpotensi - Khairy

Dania Zainuddin
Ogos 24, 2016 19:30 MYT
KHAIRY JAMALUDDIN: Saya mahu di Tokyo 2020, kita tambah penyertaan satu atau dua lagi acara sukan. Kita mahu menjadi negara yang boleh menyumbang pingat dari pelbagai sukan. -Foto Astro AWANI
Selesai temasya sukan Olimpik Rio 2016, kini masa untuk Malaysia menumpu dan memulakan persediaan untuk Olimpik Tokyo 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau mahu lebih banyak atlet terlibat dan mempelbagaikan lagi penglibatan dalam setiap acara sukan dan kategorinya.
"Saya mahu di Tokyo 2020, kita tambah penyertaan satu atau dua lagi acara sukan.
"Kita mahu menjadi negara yang boleh menyumbang pingat daripada pelbagai sukan. Ada negara yang menyumbang pingat dari satu sukan sahaja, saya tidak berasa kita mahu jadi seperti itu.
"Di Tokyo juga akan melibatkan sukan karate, kita ada beberapa atlet karate bertaraf dunia seperti Chee Wei dan Shakila," kata Khairy Jamaluddin pada sidang media sambutan ketibaan kontinjen Olimpik Rio 2016 di sini, pada Rabu.
Katanya, Malaysia akan terus mengutamakan acara badminton kerana ia adalah sandaran utama negara dalam acara antarabangsa itu.
"Selain itu, acara terjun juga berpotensi tinggi dan saya percaya ia dapat menyumbang lebih daripada satu pingat di Tokyo," kata Khairy.
Katanya, beliau mahu memastikan skuad negara dimantapkan kerana mutu saingan dari negara lain dilihat semakin kuat.
"Kita juga akan melantik lebih ramai jurulatih dari China untuk meningkatkan jumlah atlet pelapis dalam acara terjun.
"Untuk acara berbasikal, Azizul sudah meyampaikan hasrat untuk meneruskan acara keirin dan sprint, tetapi kita kena tambah lagi beberapa pelumba pelapis untuk membantu menyumbang pingat," kata Khairy Jamaluddin.
Mengenai acara sukan yang kurang cemerlang iaitu memanah, menembak dan belayar, Khairy berkata ketiga-tiga acara akan dinilai dan dirancang semula.
Mengulas pelan bagi acara badminton selepas persaraan Datuk Lee Chong Wei, Khairy berkata beliau bersama BAM mahu memastikan ada sekurang-kurangnya satu atau dua wakil negara dalam setiap kategori badminton.
"Saya mahu di Tokyo 2020, kami dapat memaksimumkan peluang untuk mendapat pingat dalam kelima-lima kategori dalam acara badminton.
"Dengan itu, soal kita bergantung kepada seorang atlet sahaja tidak timbul kerana kali ini, BAM buktikan kita boleh mendapat pingat lebih daripada satu kategori," kata Khairy Jamaluddin.
Mengenai tambahan ganjaran yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada atlet yang memenangi pingat di sukan Olimpik kali ini, Khairy berkata ia adalah satu insentif yang mengiktiraf dan memberi semangat kepada atlet negara.
Beliau menekankan ketika berada di Rio, tiada atlet yang pernah berbincang dengannya mengenai sebarang ganjaran dan hanya menumpu kepada kemenangan untuk negara.
#KHAIRY #Malaysia #olimpik rio2016 #tokyo2020
;