Tokyo 2020: Terkena platform kesilapan paling ditakuti penerjun - Bryan Lomas
Astro Arena
Ogos 5, 2021 05:13 MYT
Ogos 5, 2021 05:13 MYT
BRYAN Lomas berharap penerjun negara, Pandelela Rinong, segera memadam kedukaannya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 sambil menjadikannya sebagai pemangkin semangat.
Pemenang pingat perak dalam acara seirama kempen di Rio lima tahun lalu itu mengakhiri final 10m platform individu di Pusat Akuatik Tokyo, semalam, di tangga ke-12.
Juri hanya memberikannya 18 mata dalam terjunan pertama berikutan kesilapan sebaik lompatannya, untuk mengumpul 245.85 mata keseluruhan.
"(Ada) benda yang saya tidak sangka (terjadi) dari awal lagi, maksudnya dalam pusingan kelayakan lagi.
"(Padahal) untuk layak ke separuh akhir untuk dirinya bukannya sukar.
"Dia seorang atlet yang sangat tekal. Tengok rekod terdahulunya, kalau 10 pertandingan yang dia pergi biasanya mata kutipannya 300 ke atas.
"Kita tahu biasanya prestasinya tekal termasuk dalam latihan. Cuma nasib tidak menyebelahinya kali ini apabila bergelut ke semifinal dan akhirnya masuk ke final," kata Bryan di Nadi Arena malam tadi.
Tambahnya lagi, kesilapan yang paling ditakuti penerjun ialah terkena platform kerana ia boleh ganggu segala rentaknya.
"Buat mana-mana atlet (sekalipun), sebagus mana pun seseorang atlet itu tapi kalau dah terkena platform atau papan anjal memang sukar untuk kawal terjunan selepas itu.
"Saya tidak lihat latihannya dalam beberapa hari terakhir ini.
"Mungkin ia disebabkan tekanan sebab lima tahun lalu dia berjaya mendapat pingat dalam 10m platform seirama.
"Kali ini dia sasarkan pingat dua acara, malangnya dia tidak dapat pingat dalam acara seirama jadi mungkin ada tekanan yang menyebabkan kesilapan dalam terjunannya.
"Saya yakin mentalnya kuat dan ia akan mendorongnya bekerja lebih keras selain mendapatkan rentak yang dipamerkan sebelum ini.
"Saya harap dia boleh bangkit dan mungkin ramai yang lupa bahawa dia bergelar juara dunia (pada Mei lalu)."
#Pandelela Rinong
#penerjun negara
#Sukan Olimpik Tokyo
#Tokyo 2020
#pemangkin semangat
#Bryan Lomas
#atlet
#tekal
#papan anjal
#terkena platform
#kesilapan
#tekanan
#latihan
#acara seirama
#olimpik 2020
#Olimpik Tokyo