Tokyo 2020: 'Terima kasih rakyat Malaysia' - Aaron-Wooi Yik
Bernama
Julai 31, 2021 23:04 MYT
Julai 31, 2021 23:04 MYT
TOKYO: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghargai sokongan seluruh rakyat Malaysia sehingga menyaksikan mereka dapat meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pasangan muda negara yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik itu menyifatkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak di tanah air membakar semangat mereka untuk terus memberikan aksi terbaik biarpun pingat pertama kepada negara itu bukannya kilauan emas.
"Terima kasih kepada anda semua yang menyokong kami... rakyat Malaysia, keluarga, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan barisan kejurulatihan.
"Kalau bukan sokongan daripada anda semua, kita mungkin tidak akan berada seperti sekarang, raih pingat pada Sukan Olimpik," katanya.
Pasangan Aaron-Wooi Yik meraih gangsa, pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo, selepas lebih seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lepas.
Aaron-Wooi Yik bangkit bertenaga untuk mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 52 minit di Musashino Forest Sport Plaza, di sini, malam ini.
Aaron berkata walaupun tumpas pad set pertama, mereka berjaya menyerap tekanan seterusnya bangkit meraih kemenangan pada dua set seterusnya.
[TERKINI] Pasukan beregu negara bawa pulang pingat gangsa
Beliau berkata kejayaan itu juga menjadi motivasi berharga kepada karier mereka dalam menghadapi kejohanan-kejohanan besar pada masa akan datang.
"Kejayaan itu satu permulaan yang memberi keyakinan kepada kita dalam menghadapi kejohanan akan datang," katanya.
Sementara itu, Wooi Yik berkata biarpun tumpas di set pertama, mereka tidak berputus asa, sebaliknya mereka percaya kepada diri sendiri bahawa mereka mampu meraih kemenangan pada perlawanan itu.
"Sebelum turun beraksi kita sudah merangka strategi kerana mereka beregu berpengalaman, namun kita tewas di set pertama. Pada set kedua, kita tidak berputus asa dan bermain bermati-matian kerana kita percaya kepada diri sendiri, akhirnya kita berjaya tewaskan mereka pada set ketiga," katanya.
Wooi Yik berkata walaupun bukan kilauan emas, mereka tetap bangga dapat menyumbangkan pingat pertama kepada negara pada temasya sukan berprestij itu.
-- BERNAMA
#Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020
#Aaron Chia
#wooi yik
#badminton
#pingat gangsa
#terima kasih
#rakyat Malaysia