Tokyo 2020: Strok haba memaksa pemain tenis Sepanyol, Paula Badosa tarik diri

Bernama
Julai 29, 2021 13:16 MYT
"Saya tidak melihat keperluan untuk terus bermain pada suhu 37 darjah Celsius," kata Badosa. - Foto Reuters
TOKYO: Pemain tenis Sepanyol, Paula Badosa terpaksa menarik diri daripada peringkat suku akhir perseorangan akibat strok haba.
Atlet itu dilaporkan berdepan tekanan akibat cuaca panas dan lembap di gelanggang, dan terpaksa menarik diri selepas tewas set pertama 3-6 ketika bertemu Marketa Vondrousova dari Republik Czech.
Menurut Xinhua, Badosa dibawa keluar dari gelanggang menggunakan kerusi roda dan turut menarik diri dalam acara beregu campuran.
Rakan sepasukan Gabine Muguruza, yang juga tewas di pusingan suku akhir berkata, "Saya tidak melihat keperluan untuk terus bermain pada suhu 37 darjah Celsius."
Sementara itu, Badosa melahirkan rasa kecewanya terpaksa mengakhiri impiannya.
"Sungguh memalukan menamatkan penyertaan dengan cara ini.
"Kami berusaha menyesuaikan diri sejak hari pertama. Namun, hari ini badan saya tidak dapat menanggungnya lagi.
"Saya mengalami strok haba dan tidak mampu untuk meneruskan permainan," katanya.
Apa yang berlaku kepada Badosa dan rungutan pemain lain mengenai keadaan di gelanggang, menyebabkan Persekutuan Tenis Antarabangsa memutuskan perlawanan pada Khamis hanya akan diadakan selepas 3 petang waktu tempatan demi melindungi kesihatan pemain.
-- BERNAMA
#Tokyo 2020 #Olimpik Tokyo #olimpik 2020 #Marketa Vondrousova
;