Tokyo 2020: Shah Firdaus disah tidak patah rusuk, peluang rebut pingat kembali bersinar
Astro Awani
Ogos 7, 2021 19:11 MYT
Ogos 7, 2021 19:11 MYT
RAKYAT Malaysia boleh menarik nafas lega apabila jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom disahkan tidak mengalami kecederaan serius.
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, berkata laporan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati tulang rusuk pelumba itu tidak patah.
"Syukur kepada tuhan. Terkini: Setelah MRI dijalankan, kami dapat mengesahkan bahawa dia tidak mengalami patah tulang rusuk !!
"Ia satu kelegaan besar untuk kita semua. Sekarang sedang menunggu pasukan @isnmalaysia untuk menilai keadaan dan berbincang mengenai perjalanan esok," katanya di laman Twitter sebentar tadi.
Sementara itu, wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, di laman Twitternya pula berkata, pemeriksaan mendapati Shah Firdaus tidak mengalami patah rusuk dan paru-parunya tidak bocor.
Shah Firdaus sebelum ini terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada rusuk selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan merebut tempat ke suku akhir acara Keirin di Velodrom Izu petang Sabtu.
Kemalangan itu berlaku selepas Shah Firdaus dihimpit pelumba Great Britain, Jack Carlin. Kecederaan dialaminya mengakibatkan perlumbaan semula tidak dapat diteruskan.
BACA: Tokyo 2020: Azizulhasni tepati ramalan, walau terjatuh Shah Firdaus bangkit rebut tiket suku akhir
Pelumba kelahiran Muar itu memilih menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.
Shah Firdaus bersama Datuk Azizulhasni Awang dijadualkan berentap di peringkat suku akhir pada Ahad dalam usaha memburu pingat emas pertama buat negara.
#Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020
#Shah Firdaus
#terjatuh
#keirin
#rusuk
#Hospital
#tidak patah rusuk
#tidak cedera serius