Tokyo 2020: "Senyumlah Nur Dhabitah" - Pesan Perdana Menteri

Astro Awani
Ogos 1, 2021 23:36 MYT
Muhyiddin berkata, layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu dibanggakan. - Gambar/ Team Malaysia / Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas kepada penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri, yang menamatkan cabaran Olimpik Tokyo 2020 di tempat keempat di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.
Muhyiddin menegaskan biarpun tanpa pingat, kelibat dan aksi Nur Dhabitah jelas menghiburkan dan mempamerkan semangat yang tidak mudah mengalah.
Olimpik Tokyo 2020 | Tangisan kepuasan Nur Dhabitah
"Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.
"Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang.
"Senyumlah Nur Dhabitah!" katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Nur Dhabitah terpaksa akur di kedudukan keempat saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.
Biarpun terlepas peluang menyumbangkan pingat kedua kepada Malaysia hari ini, aksi Nur Dhabitah mencuri tumpuan rakyat Malaysia sehingga menjadi 'trending' di media sosial, kerana penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa mengukir senyuman sebelum melakukan terjunan.
#Tokyo 2020 #Olimpik Tokyo #olimpik 2020 #dhabitah #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #senyum #senyumlah #Senyumlah Nur Dhabitah
;