Tokyo 2020: Saya hampir menangis melihat bendera Malaysia berkibar - Soh Wooi Yik
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 1, 2021 13:37 MYT
Ogos 1, 2021 13:37 MYT
KUALA LUMPUR : Terima dan belajar dari kekalahan ketika aksi separuh akhir selain motivasi diri menjadi azimat dan senjata ampuh untuk membolehkan pasangan beregu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakhiri kempen sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan pungutan pingat gangsa.
Wooi Yik mengakui dia dan Aaron agak sugul dan kecewa dengan kekalahan pada peringkat separuh akhir sehingga membuatkan mereka terdiam dan termenung sepanjang perjalanan pulang ke penginapan mereka sejurus perlawanan tersebut.
“Ya, memang sakit hati selepas kalah di separuh akhir. Memang dari dalam bas sehingga ke bilik pun kami cuma diam. Sehingga sampai ke bilik barulah kami bercakap.
“Kami tersedar kami tidak boleh berputus asa dan ada perlawanan akhir untuk kami tempuh. Kami perlu berdepan perlawanan itu dan anggap ia seperti pertarungan untuk pingat emas juga,” katanya ketika ditemubual oleh Astro Arena pada Ahad.
Bagaimanapun jelasnya perasaan itu berubah sebaik sahaja mereka berdua berjaya melakukan keajaiban dengan menewaskan beregu yang menduduki ranking nombor satu dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.
Perasaan mereka lebih tersentuh apabila melihat bendera Malaysia dinaikkan selepas pingat kebanggaan itu dikalungkan dileher mereka.
“Bila saya lihat bendera Malaysia itu dikibarkan saya rasa hampir menangis, sangat terharu. Ini sememangnya satu impian yang dipasang sejak kecil dan terasa seperti segala pengorbanan dan kesakitan yang perlu dibayar sebelum ini adalah berbaloi," katanya.
Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meraih pingat gangsa pertama buat kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza.
Aaron-Soh Wooi menyingkirkan pasangan Indonesia itu dengan kutipan mata 17-21, 21-17 dan 21-14.
#Astro
#badminton
#bas
#Indonesia
#Malaysia
#Olimpik
#sukan
#Sukan Olimpik Tokyo
#Tokyo
#Tolyo 2020
#Aaron Chia
#Soh Wooi Yik
#pingat gangsa