Tokyo 2020: Pelari pecut Belarus terima suaka tiba di Poland
Hafizi Rosli
Ogos 6, 2021 09:52 MYT
Ogos 6, 2021 09:52 MYT
PELARI pecut Belarus, Krystsina Tsimanouskaya yang diarah untuk dihantar pulang ke negara kelahirannya sudah selamat tiba di Poland.
Tsimanouskaya dilaporkan memohon suaka di Eropah, selepas meninggalkan perkampungan Olimpik, beberapa hari lalu.
Atlet berusia 24 tahun itu, yang menyuarakan keselamatannya di Belarus, meninggalkan Tokyo selepas menginap selama dua malam di Kedutaan Besar Poland di Tokyo, sudah mendapatkan visa kemanusiaan daripada Poland.
Sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Tsimanouskaya telah dikawal ketat oleh polis tempatan bagi memastikan dia dapat menaiki pesawat dengan selamat.
Menurut Timbalan Menteri Luar Poland, Marcin Przydacz, beliau berterima kasih kepada Konsulat Poland dan pegawai diplomatik yang terlibat dalam perancangan membawa pulang Tsimanouskaya dengan selamat.
Sebelum meninggalkan Tokyo, Tsimanouskaya dllaporkan sebagai berkata, dia berharap dapat meneruskan kariernya namun tahap keselamatannya menjadi keutamaan. Portal antarabangsa melaporkan suaminya telah meninggalkan Belarus untuk bersama-sama dengan isterinya di Poland.
Terdahulu, Tsimanouskaya yang sepatutnya berlepas dari Tokyo menuju ke Warsaw telah menukar penerbangan ke Vienna, pada saat-saat akhir.
Selain, Poland beberapa negara turut menawarkan suaka kepada atlet berkenaan, termasuk Republik Czech dan Slovenia.
Tsimanoyskaya dijadual mengambil bahagian dalam acara larian 100 meter (m) dan 200m wanita di Olimpik Tokyo.
Namun, jurulatihnya memutuskan supaya dia turut serta dalam acara 4x400m ekoran dua atlet Belarus didapati tidak layak bertanding kerana gagal ujian dadah.
Tsimanouskaya menyuarakan bantahannya terhadap keputusan jurulatih itu di media sosial kerana tidak bersedia untuk mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Jawatankuasa Olimpik Belarus kemudian memaklumkan jurulatih pasukan olahraga memutuskan untuk menghantar pulang atlet itu atas alasan masalah emosi dan psikologi.
Presiden Belarus Alexander Lukashenko dikecam meluas oleh dunia kerana tindakan ganas ke atas pembangkang politik di negara itu.
Tsimanouskaya berkata dalam satu temu bual, dia hanya mahu fokus terhadap kariernya dalam acara pecut.
"Saya tidak tahu dan tidak pernah berkecimpung dalam politik," katanya.