Tokyo 2020: Pandelela tamatkan saingan di tempat ke-12
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 5, 2021 16:07 MYT
Ogos 5, 2021 16:07 MYT
TOKYO: Hasrat untuk memburu pingat untuk negara tidak kesampaian apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong menamatkan saringan di final acara 10 meter Platform Wanita di kedudukan ke-12.
Acara yang berlangsung di Tokyo Aquatics itu menyaksikan 12 penerjun terbaik dunia itu nyata dikuasai oleh dua jaguh Cina Chen Yuxi dan Quan Hongchan selain atlet dari Australia Mellisa Wu yang cemerlang sejak terjunan pertama.
Pandelela berada di belakang penerjun Rusia, Yulia Vladimirovna Timoshinina dengan mengumpul 245.85 mata.
Pandelela hanya merekodkan 18 mata pada terjunan pertamanya itu selepas kakinya sedikit terkena platform sebelum melakukan 'entry' yang kurang kemas.
Atlet kelahiran Sarawak itu cuba bangkit pada terjunan kedua, di mana dia merekodkan 71.05 mata sebelum meraih 60.80 mata dalam terjunan ketiga.
Dengan merekodkan 52.80 mata pada terjunan keempat dan 43.20 mata pada terjunan kelima, Pandelela terpaksa berpuas hati menduduki tangga terbawah daripada 12 peserta selepas mengumpulkan 245.85 mata keseluruhan.
Hongchan, 14, berjaya merekodkan catatan tertinggi dengan 466.20 mata untuk menempatkannya sebagai pemenang pingat emas di temasya sukan edisi kali ini.
Atlet termuda dari China itu menewaskan rakan senegaranya Chen Yuxi yang selesa dengan pingat perak dengan 425.40 mata.