Tokyo 2020: Pandelela layak ke final acara 10m platform individu wanita

Astro Awani
Ogos 5, 2021 10:34 MYT
Ratu terjun negara Pandelela Rinong layak ke peringkat akhir acara 10m platform individu wanita petang ini. -Gambar fail
TOKYO: Ratu terjun negara Pandalela Rinong memastikan slot ke peringkat akhir acara 10 meter (m) platform wanita individu di temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pagi tadi.
Atlet kelahiran Sarawak itu cemerlang ketika mempamerkan aksi terjunan yang meyakinkan di peringkat separuh akhir di Tokyo Aquatics.
Pemenang pingat emas Piala Dunia 2021 itu fokus dalam setiap terjunan dilakukannya dengan mengutip 67.50; 59.45; 68.80; 57.60 dan 62.40 mata bagi memastikan beliau kekal berada dalam landasan memburu pingat Olimpik ketiganya.
Kelayakan ke final ini mencerahkan peluang memburu pingat negara di lapangan akuatik selepas rakan senegara Cheong Jun Hoong terkandas lebih awal semalam.
Pandalela mengumpul jumlah mata 315.75 sekali gus menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dengan menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
Dia akan menyertai jaguh dunia lain dalam aksi terjunan di final jam 2 petang nanti.
BACA: Tokyo 2020: Pandelela beraksi pada separuh akhir 10m platform individu wanita
BACA: Tokyo 2020: Pandelela akui perlu perkemas lompatan
BACA: Tokyo 2020: Teruskan berdoa bagi kejayaan Pandelela - Reezal Merican
Sementara itu, China terus mengungguli acara terjun menerusi Quan Hongchan dengan 415.65 mata, diikuti rakan senegara Chen Yuxi (407.75 mata) dan Delaney Schnell dari Amerika Syarikat di tempat ketiga (342.75 mata).
Semalam, atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan di tempat ke-18 dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 284.90 mata manakala seorang lagi penerjun negara Cheong Jun Hoong terkandas selepas sekadar menduduki tempat ke-26 dengan 251.80 mata.
Pandelela menjadi harapan pingat buat kem terjun negara selepas hanya menduduki tempat kelapan dalam acara 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee pada 27 Julai, manakala Nur Dhabitah Sabri pula menduduki tempat keempat acara 3m papan anjal wanita.
Pandelela muncul atlet wanita Malaysia pertama berjaya meraih pingat di Olimpik selepas memenangi pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London, sebelum menyumbang perak acara 10m platform seirama bersama Jun Hoong di Olimpik Rio 2016.
#Tokyo 2020 #olimpik jepun #Pandelela Rinong #layak ke final #Separuh Akhir #Sukan Olimpik Tokyo #platform 10m #individu wanita #Cheong Jun Hoong #Tokyo Aquatics
;