Tokyo 2020: Misi Djokovic buru 'Golden Slam' gagal selepas disingkirkan di separuh akhir
Astro Awani
Julai 30, 2021 18:29 MYT
Julai 30, 2021 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Impian pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic meraih pingat emas di temasya Olimpik Tokyo berkecai selepas tewas di set kedua dan penentuan kepada Alexander Zverev sebentar tadi.
Kekalahan ini sekali gus memusnahkan misi Djokovic untuk menjadi bintang tenis pertama selepas 33 tahun yang berjaya meraih Golden Slam.
Jaguh Serbia itu bermula garang apabila berjaya menundukkan Zverev dengan 6-1 pada set pertama, namun tewas 3-6, 1-6 pada set seterusnya.
Zverev, yang merupakan pemain nombor lima dunia dari Jerman terus nekad memastikan kemenangan menjadi miliknya apabila dijadualkan bertemu dengan atlet Rusia, Karen Khachanov di pentas akhir.
Sebelum ini, Djokovic disebut-sebut sebagai bintang tenis lelaki pertama yang bakal meraih gelaran Golden Slam ini.
Djokovic tampil di pentas Olimpik Tokyo dengan misi memburu gelaran itu selepas berjaya menjuarai perseorangan lelaki di Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Terbuka Wimbledon untuk edisi tahun ini.
Malah dia hanya perlu meraih kejuaraan di New York awal September depan menerusi Terbuka Amerika Syarikat bagi mencipta rekod ini.
Sehingga kini, Steffi Graf merupakan satu-satunya jaguh tenis dunia yang berjaya melengkapkan kesemua lima kejuaraan pada tahun 1988.
#Amerika Syarikat
#Novak Djokovic
#Olimpik
#Tokyo
#Jerman
#Australia
#Rusia
#New York
#Tokyo 2020
#Alexander Zverev