Tokyo 2020: Marcell Jacobs ungguli emas acara 100 meter
Faris Danial Razi
Ogos 1, 2021 21:34 MYT
Ogos 1, 2021 21:34 MYT
SELEPAS jaguh pecut dunia, Usain Bolt memegang rekod kemenangan di temasya Olimpik dalam acara larian 100m (meter) untuk tiga kali berturut-turut, kini takhta itu dirampas oleh pelari pecut Itali, Marcell Jacobs.
Jacobs, 26, memenangi acara 100m lelaki dalam pusingan akhir di Stadium Olimpik Tokyo sebentar tadi.
Dengan catatan masa 9.80 saat, Jacobs mencipta sejarah dengan menjadi atlet pertama dari Itali yang memenangi acara itu selepas sekian lama menjadi milik Jamaica.
Jacobs berkongsi podium dengan naib juara, Fred Kerley dari Amerika Syarikat dengan catatan masa (9.84 saat) dan Andre de Grasse (Kanada) yang meraih pingat gangsa dengan rekod masa (9.89 saat).
Bagaimanapun, rekod terpantas Olimpik yang dipegang oleh Bolt dengan 9.63 saat masih tidak terjejas ketika ini sekurang-kurangnya sehingga Olimpik 2024 di Paris.
Perlumbaan itu bermula dengan sedikit kontroversi apabila wakil Great Britain, Zharnel Hughes tersingkir selepas memulakan larian lebih awal dari yang sepatutnya.
Sementara itu, atlet China, Su Bingtian yang mempamerkan aksi terpantas dalam pusingan separuh akhir hanya dapat menghabiskan perlumbaan dengan kedudukan tempat keenam dengan catatan masa (9.98 saat).
#Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020
#100 meter
#pelari pecut
#Itali
#Marcell Jacobs
#Usain Bolt