Tokyo 2020: Kluster pertama COVID-19 peserta Olimpik dikesan

Bernama
Ogos 4, 2021 12:38 MYT
Sekurang-kurangnya 29 kes baharu direkodkan termasuk tiga atlet renang berirama dari Greece. - Gambar fail/Reuters
ANKARA: Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo pada Rabu mengesahkan kluster pertama COVID-19 dikesan dalam kalangan peserta sejak kejohanan bermula pada 23 Julai.
"Saya terpaksa katakan ini adalah kluster," kata jurucakap jawatankuasa penganjur Masanori Takaya.
Sekurang-kurangnya 29 kes baharu direkodkan termasuk tiga atlet renang berirama dari Greece, lapor Agensi Berita Anadolu memetik Kyodo News.
Jawatankuasa Olimpik Greece berkata pasukan renangnya menarik diri daripada pertandingan itu akibat dijangkiti COVID-19.
Menurut penganjur sebanyak 322 kes dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, tuan rumah Tokyo mencatatkan 4,166 kes baharu COVID-19 pada Rabu. Setakat Selasa, Jepun merekodkan 956,407 kes dan 15,219 kematian.
-- BERNAMA
#Tokyo 2020 #Olimpik Tokyo #Jepun #Olimpik #Sukan Olimpik Tokyo #Tokyo #kluster olimpik #COVID-19 #renang