Tokyo 2020: Khatam sehari sebelum acara keirin, Al-Quran rahsia ketenangan Azizulhasni
Afiezy Azaman
Ogos 13, 2021 09:52 MYT
Ogos 13, 2021 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan membaca Al-Quran merupakan rahsia beliau untuk mendapatkan ketenangan ketika menghadapi kejohanan Olimpik Tokyo lalu.
Pemenang pingat perak Olimpik dalam acara Keirin pada Tokyo 2020 itu berkata, menyertai kejohanan dengan tekanan yang besar bukan satu urursan yang mudah apatah lagi bertanding di temasya terbesar dunia.
"Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ia umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.
"Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapai situasi yang 'extreme' ini? Jawapan saya adalah Al-Quran dan ketika kem latihan di Nilai, saya sudah mulakan misi membaca Al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan.
"Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu itu ditambah dengan kesibukkan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan namun tetapi selepas tamat sahaja kem latihan dan terbang ke Tokyo, ia memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan," katanya di laman media sosial Facebook, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azizulhasni yang juga pernah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin ketika Olimpik Rio 2016 menceritakan beliau tidak mensia-siakan waktu yang ada.
Katanya semasa penerbangan menuju ke Tokyo, separuh perjalanan tersebut beliau luangkan dengan bacaan Al-Quran.
Jelasnya, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut ternampak misi peribadinya itu dan memberikan kata-kata semangat dan tips kerohanian.
"Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan dan apabila kita baca Al-Quran ini tidak mudah, banyak dugaan-dugaan serta bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita.
"Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.
"Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya, saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza dan dapat lupakan seketika kepenatan daripada latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah duniawi yang tersumbat di kepala," jelasnya.
Azizulhasni turut menyatakan beliau berjaya khatam Al-Quran sehari sebelum beliau memulakan perlumbaan dalam acara keirin.
"Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari sahaja lagi. Tetapi saya tidak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ini membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.
"Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dialah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya," ujar Azizulhasni.
#Azizulhasni Awang
#Olimpik
#Reezal Merican
#penerbangan
#sukan
#Tokyo
#Al-Quran
#ketenangan
#Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020