Tokyo 2020: Khairul Anuar yakin dapat tangani tiupan angin mengelirukan
Astro Arena
Julai 22, 2021 05:22 MYT
Julai 22, 2021 05:22 MYT
PEMANAH negara, Khairul Anuar Mohamad, dilaporkan sudah berjaya mengatasi masalah tiupan angin mengelirukan di Lapangan Memanah Yumenoshima Park menjelang peringkat kelayakan acara recurve Sukan Olimpik Tokyo esok.
Khairul Anuar dan pemanah wanita, Syaqiera Mashayikh, akan membuka tirai perjuangan Malaysia memburu pingat emas sulung dalam temasya edisi ke-32 itu.
Pengalaman akan menjadi kelebihan Khairul Anuar untuk mengatasi tiupan angin mengelirukan di venue terbuka berkenaan.
Naib juara dunia 2019 itu melakukan bidikan tepat dalam sesi latihan terakhir yang berlangsung dalam keadaan suhu 33 darjah Celsius pada Khamis.
Ia satu perkembangan yang cukup positif dalam usahanya memperbaharui rekod kebangsaan acara recurve individu lelaki atau melepasi peringkat kelayakan berpasukan campuran.
"Angin di sini memang adakalanya mengelirukan kerana ia tidak menentu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.
"Majoritinya angin akan ke kanan atau ke arah jam 3 tetapi adakalanya ia secara tiba-tiba akan beralih ke arah jam 9, 11 atau 12.
"Apapun, kami sudah dua hari di sini, jadi sudah dapat membaca keadaan angin.
"Tetapi apabila dalam pusingan kalah mati nanti, keadaan di dalam gelanggang pasti berbeza dengan tiupan angin yang berlainan.
"Semalam kami mendapat peluang berlatih di dalam gelanggang sebanyak empat kali dan sedikit sebanyak dapat mengetahui keadaan angin di sana," katanya.
Sebanyak 29 negara akan beraksi dalam acara berpasukan campuran dengan hanya 16 yang terbaik akan layak ke pusingan pertama.
Bagi acara recurve individu lelaki, Khairul Anuar merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan 690 mata yang dilakukannya tahun lalu.