Tokyo 2020: Keluarga tumpang bangga kejayaan Azizulhasni
Nur Fazlizai Ali
Ogos 8, 2021 15:12 MYT
Ogos 8, 2021 15:12 MYT
DUNGUN: Meskipun bukan kilauan emas, namun pingat perak yang diraih Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo merupakan penawar buat ayah jaguh berbasikal trek negara itu, Awang Muda Embong yang sedang dirawat akibat penyakit angin ahmar.
Menurut abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, adik iparnya itu tentu sekali akan mendedikasikan pingat perak Olimpik Tokyo 2020 yang dimenanginya itu buat ayahnya yang berusia 72 tahun itu.
Mohd Razman berkata, walaupun terlepas pingat emas yang diidamkan, dia percaya Azizulhasni sudah memberikan yang terbaik dalam aksi final itu.
Tambah Mohd Razman, Azizulhasni ada menghubungi ahli keluarganya malam tadi dan meminta mendoakan kejayaan dalam acara yang diwakilinya.
Kata Mohd Razman, kejayaan Azizulhasni meraih pingat perak adalah lebih baik berbanding pencapaiannya di Olimpik Rio 2016 dengan memperoleh pingat gangsa.
“Walaupun tidak dapat membawa pingat emas pertama untuk Malaysia tapi kita tetap bangga dengan kejayaan Azizul mendapat pingat perak, sebelum ini di Rio dia mendapat gangsa. Apa-apapun kami tetap menyokong dia walaupun menang atau kalah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nibong Stesen, di sini, pada Ahad.
Olimpik Tokyo 2020 | Azizulhasni Awang hadiahkan perak buat negara
Mohd Razman yang juga suami kepada kakak Azizulhasni, Rosmani sekeluarga seramai 10 orang tidak melepaskan peluang menyaksikan perlumbaan akhir keirin secara langsung.
Pada temasya Olimpik Rio 2016 di Rio De Janeiro, Brazil, Azizulhasni mencipta sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara memenangi pingat dalam kejohanan sukan terbesar dunia.
Mohd Razman berkata, mereka sekeluarga juga tetap yakin azizulhasni akan dapat meraih pingat emas Olimpik pertama negara satu hari nanti.
“Kesemua ahli keluarga akan terus memberikan semangat dan tidak putus-putus mendoakan kejayaannya,” kata Mohd Razman lagi.
Dalam aksi final itu, Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Jason Kenny dari Britain.
#Azizulhasni Awang
#Azizulhasni
#Sukan Olimpik Tokyo
#Olimpik Tokyo 2020
#Tokyo 2020
#pingat perak
#acara Keirin