Tokyo 2020: Keegan Palmer kejutkan juara dunia, Pedro Barros

Ian Johan Ariff
Ogos 5, 2021 13:18 MYT
Dari kiri, Pedro Barros, Keegan Palmer dan Cory Juneau melengkapkan podium acara papan selaju Park Lelaki. - Gambar Instagram @worldskatesb
TOKYO: Keegan Palmer dari Australia mencipta kejutan apabila memenangi emas Olimpik yang pertama acara papan selaju Park Lelaki, mengatasi peserta pilihan dari Brazil, Pedro Barros dan Luis Francisco di final.
Jaguh papan selaju Australia berusia 18 tahun itu meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi buat pencabarnya pada run yang pertama lagi, dengan catatan mata 94.04.
Catatan tersebut ternyata terlalu tinggi untuk diatasi Barros dan Francisco, yang menyaksikan run pertama yang tidak dijangka oleh Palmer sebelum mereka turun ke gelanggang.
Barros yang cuba membaiki persembahannya dalam run yang pertama hanya mampu menduduki tempat kedua untuk membawa pulang perak dengan catatan mata, 86.14.
Sementara, atlet Amerika Syarikat (AS), Cory Juneau mengatasi cabaran yang diberikan oleh Francisco pada run yang terakhir, untuk mendapat gangsa dengan 84.13 mata.
Walaupun sudah selesa di kedudukan teratas, Palmer tetap turun pada run yang ketiga untuk menamatkan saingan final dengan penuh bergaya dengan 95.83 mata, membaiki kutipan mata run yang pertamanya.
Francisco, atlet ranking kedua dunia tidak berjaya melengkapkan dua run pertama dan hanya mempamerkan aksi yang cemerlang pada run yang terakhir, namun juri hanya memberikan 83.14 mata, sekali gus gagal memintas kedudukan Juneau ataupun Barros.
Saingan Park Lelaki di Ariake Urban Sports Park itu turut menyaksikan kejutan apabila peluncur nombor satu dunia, Heimana Reynolds (AS) tidak layak ke final dan sekadar menamatkan saringan di tangga ke-13.
Ia juga merupakan kali pertama atlet tuan rumah tidak layak ke final dan memenangi sebarang pingat dalam acara papan selaju. Emas bagi acara Street Lelaki dan Wanita serta Park Wanita sebelum ini dimenangi peluncur Jepun.
#Sukan Olimpik Tokyo #Tokyo 2020 #Papan Selaju #skateboarding #Keegan Palmer #Pedro Barros #Luis Francisco
;