Tokyo 2020: Juni Karimah, Nuraisyah bawa haluan masing-masing

Astro Arena
Ogos 8, 2021 04:44 MYT
Pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tangga ke-11 pada perlumbaan ke-10. - Stadium Astro
TOKYO: Selepas melakukan penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020, pasangan pelayar wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil, terpaksa mengakhiri kerjasama itu bagi menyertai acara berpasukan campuran bermula tahun depan.
Juni Karimah dan Nuraisyah menamatkan saingan international 470 wanita di Teluk Enoshima di tempat ke-19 daripada 21 negara bertanding.
Pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tangga ke-11 pada perlumbaan ke-10 tetapi masih tidak dapat meneruskan saingan ke perlumbaan perebutan pingat.
Menerusi perkembangan terbaru yang dikongsikan kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, kedua-dua pelayar itu akan mula dipisahkan tahun depan bagi menyertai acara berpasukan campuran dan akan bersaing merebut tempat ke Sukan Asia Hangzhou 2022.
Nuraisyah berkata: "Selepas ini mungkin kami sudah tidak berpasangan, kami akan menyertai acara campuran, jadi selepas ini mungkin akan ada pemilihan bagi Sukan Asia tahun depan. Kami berdua akan bersaing.
"Kami baru sahaja digandingkan pada 2019 tetapi disebabkan pandemik (COVID-19), kami tidak dapat ke luar negara.
"Tetapi Juni memang tidak mudah menyerah kalah walaupun kami menghadapi banyak masalah di sini dan tidak cukup pengalaman.
"Jadi, kami banyak belajar di sini dan untuk tahun depan, saingannya (ke Sukan Asia) mungkin akan menjadi lebih sengit," katanya.
#Tokyo 2020 #Olimpik Tokyo #olimpik 2020 #pelayar wanita #Juni Karimah Noor Jamali #Nuraisyah Jamil #acara berpasukan campuran
;