Tokyo 2020: Jepun teruskan penguasaan di gelanggang papan selaju
Ian Johan Ariff
Ogos 4, 2021 15:07 MYT
Ogos 4, 2021 15:07 MYT
TOKYO: Atlet Jepun, Sakura Yosozumi mencatat sejarah sebagai pemenang emas acara papan selaju Park Wanita yang pertama kali diadakan di Olimpik.
Rakan senegara, Kokona Hiraka pula mendapat perak, manakala peluncur sensasi Britain, Sky Brown melengkapkan podium dalam saingan penuh dramatik di gelanggang papan selaju Ariake Urban Sports Park.
Sakura, 19 tahun mempamerkan aksi yang bersahaja dan tenang dengan penguasaan gelanggang yang kemas selain memukau juri dengan dua trick 540s berturut-turut ataupun lompatan satu setengah pusingan pada run yang pertama untuk mengumpul 60.09 mata.
Mata yang dikutip itu sudah cukup untuk mengatasi juara dunia, Misugu Okamoto yang bergelut untuk melengkapkan run yang sempurna dalam tiga cubaan pada aksi final pagi tadi.
Kedudukan Sakura sebagai pemenang terpaksa ditunggu sehingga run yang terakhir, apabila Momiji dan Brown mempunyai peluang untuk memintas kedudukannya pada run ketiga.
Brown, peluncur Great Britain kacukan Jepun berusia 13 tahun itu berjaya mengatasi cabaran menyempurnakan kick flip indy yang gagal dilakukan pada dua run yang pertama, namun Momiji terjatuh pada cubaan trick yang sama pada saat terakhir, sekali gus terlepas peluang untuk menaiki podium.
Brown membawa pulang perak dengan 56.47 mata, sementara Kokona, 13 tahun mempamerkan aksi yang konsisten dalam dua run pertama untuk mendapat tempat kedua dengan kutipan mata tertinggi, 59.04 mata.
Acara papan selaju diteruskan pada Khamis dengan Park Lelaki pada sebelah pagi di venue yang sama.
#Sukan Olimpik Tokyo
#Papan Selaju
#skateboarding
#women's park
#Tokyo 2020
#Sakura Yosozumi
#Olimpik
#Tokyo
#Jepun