Tokyo 2020: Federer tarik diri

Astro Awani
Julai 13, 2021 07:21 MYT
Roger Federer menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo kerana mengalami kecederaan lutut ketika turun beraksi di gelanggang rumput. - Gambar fail
ROGER Federer mengumumkan menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo kerana mengalami kecederaan lutut ketika turun beraksi di gelanggang rumput.
Jaguh Grand Slam 20 kali itu memaklumkan keputusan itu menerusi hantaran di akaun Twitter pada Selasa.
Federer, yang akan menyambut hari jadi ke-40 bulan depan, menjalani dua pembedahan lutut pada tahun 2020, mengakibatkan pemulihan yang memakan masa lebih satu tahun.
Pemain Switzerland itu kembali beraksi pada Mac lalu - 13 bulan selepas meninggalkan separuh akhir Terbuka Australia tahun lalu.
Beliau menarik diri dari Terbuka Perancis bulan lalu walaupun memenangi perlawanan pusingan ketiga, sebagai persediaan untuk beraksi di gelanggang rumput.
Bagaimanapun, hasratnya untuk meraih gelaran kesembilan dalam Kejohanan Tenis Wimbledon tidak kesampaian selepas tewas kepada Hubert Hurkacz dalam suku akhir 7 Julai lalu.

pic.twitter.com/ngIlD6MYew

— Roger Federer (@rogerfederer) July 13, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ketika di gelanggang rumput, saya mengalami kecederaan di lutut, dan saya terima kenyataan yang saya mesti menarik diri dari Sukan Olimpik Tokyo.
"Saya sangat kecewa, kerana ini merupakan satu penghormatan dan kemuncak karier saya, setiap kali saya mewakili Switzerland.
"Saya sudah mula menjalani pemulihan dengan harapan dapat kembali bermain pada musim panas ini. Saya mendoakan semoga seluruh pasukan Switzerland," katanya.
BACA: Kejohanan Wimbledon: Hurkacz musnahkan hasrat gelaran kesembilan Federer
BACA: Terbuka Perancis: Federer cadang tarik diri atas faktor kecergasan
BACA: Djokovic atasi rekod Federer sebagai pemain nombor satu paling lama
Federer memenangi pingat emas bersama Stan Wawrinka dalam acara beregu pada Olimpik Beijing 2008.
Empat tahun kemudian di London, beliau hanya meraih pingat perak selepas tewas di tangan pemain Britain Andy Murray di gelanggang Wimbledon.
Terdahulu, antara nama-nama besar yang turut tidak dapat menyertai Olimpik Tokyo yang dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos adalah Rafa Nadal, Dominic Thiem, Wawrinka, Nick Kyrgios, Serena Williams dan Simona Halep.
#Roger Federer #Grand Slam #Tokyo #Olimpik #tarik diri #cedera #kecederaan lutut #sukan
;