Tokyo 2020: Di sebalik tangisan, Dhabitah pamer semangat juang tinggi
Hasimi Muhamad
Ogos 1, 2021 20:08 MYT
Ogos 1, 2021 20:08 MYT
BERADA dan beraksi di pentas besar seperti temasya Olimpik adalah satu kebanggaan buat para atlet.
Dapat berjuang ke 'garisan penamat' dalam situasi yang mencabar ketika ini juga adalah kemenangan buat para atlet yang mewakili setiap negara.
Hari ini, semangat juang yang tinggi dibuktikan oleh atlet Olimpik negara, Nur Dhabitah Sabri selepas menamatkan final acara tiga meter papan anjal individu wanita di Tokyo Aquatics Centre.
Meskipun atlet terjun kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa akur di kedudukan keempat daripada 12 peserta, gadis berusia 22 tahun itu jelas tidak memberi laluan mudah kepada pencabar lain termasuk dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Di sebalik aksi cemerlang yang menjadi kebanggaan Malaysia hari ini, turut mencuri tumpuan apabila Dhabitah atau lebih mesra disapa Bitah berkongsi pengalaman menjalani latihan ketika 'lockdown' yang memberikan kesan peribadi kepadanya.
Bercakap kepada pemberita selepas aksi final, anak bongsu daripada empat beradik ini mengakui beliau pernah hilang keyakinan diri untuk beraksi pada edisi Olimpik Tokyo 2020 kali ini.
"Kita sudah tidak hidup seperti dahulu... Kami tidak boleh pulang ke rumah dan luang masa bersama rakan. Kami hanya duduk dalam gelembung sukan dan berlatih sahaja sehinggakan saya rasa, semua dalam kalangan kami (atlet) sangat-sangat tertekan.
"Sampai satu tahap, saya tak boleh atasi semua itu. Saya rindu keluarga saya, saya rindu lepak dengan mereka...," kata Dhabitah yang menguatkan semangatnya untuk mengatasi perasaan berkenaan.
Terdahulu, Dhabitah menamatkan lima terjunan dengan kutipan mata 326.15, hanya 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa dari AS, Krysta Palmer.
Sepanjang lima aksi terjunan, Dhabitah tidak lekang dengan senyuman sehinggakan menjadi buah mulut ramai peminat sukan tanah air dan pengulas sukan yang memuji ketenangan ditunjukkan atlet terjun negara itu.
Namun, air mata kebanggaan Dhabitah menitis selepas perlawanan tersebut.
"Saya menangis bukan kerana tak menang (pingat) tetapi berbangga dengan diri kerana sebelum ini agak susah hingga saya hilang keyakinan diri dan tidak yakin mampu beraksi di Olimpik.
"Bahkan, beberapa minggu sebelum datang Olimpik pun saya macam tak pasti tentang diri saya. Jadi, saya dapat beraksi dan (berada) di tangga keempat, saya sangat berbangga," ujarnya.
Dhabitah yang sudah dua kali beraksi di temasya Olimpik dengan kali terakhiri di Rio De Jeneiro, Brazil pada 2016 turut berkata, beliau hanya memberikan fokus untuk mempamerkan aksi terbaik pada acara final berkenaan.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan rasa syukur kerana jurulatihnya sentiasa berada di sisi bagi memberikan sokongan.
"Beliau (jurulatih) adalah orang di sebalik kejayaan saya. Kami berdua bekerja keras untuk sampai ke sini," katanya.
#Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#olimpik 2020
#dhabitah sabri
#terjun
#pingat
#tangisan
#total lockdown
#COVID-19
#kegembiraan
#semangat juang tinggi