Tokyo 2020: Cabaran Azizulhasni dan Shah Firdaus berakhir dalam acara pecut

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 5, 2021 17:00 MYT
Azizulhasni terpaksa melalui pusingan Repechages selepas saingan final 1/8 menyaksikan dia tewas di tangan jaguh Belanda Jeffrey Hoogland dalam aksi sebelum itu. - Gambar fail/BERNAMA
SHIZUOKA: Cabaran dua atlet berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dalam acara pecut pada temasya Olimpik Tokyo 2020 berakhir petang tadi.
Dalam saingan perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Izu,Shizuoka itu, kayuhan Azizulhasni tersekat di saingan Repechages 1/8 apabila menduduki tempat kedua di belakang atlet Britain, Jason Kenny.
Seorang lagi jaguh berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus pula menamatkan saingan di tempat ketiga pada pusingan yang sama di belakang atlet Perancis Sebastien Vigier dan atlet berbasikal New Zealand Sam Webster.
“The Pocket Rocketman” terpaksa melalui pusingan Repechages selepas saingan final 1/8 menyaksikan dia tewas di tangan jaguh Belanda Jeffrey Hoogland dalam aksi sebelum itu.
Sementara Muhammad Shah Firdaus pula turut tewas di tangan seorang lagi jaguh dari Belanda Harrie Lavreysen.
Bagaimanapun harapan masih lagi terbuka buat Malaysia untuk sekurang-kurangnya melihat kutipan pingat dalam acara berbasikal apabila kedua-dua pelumba negara itu kini akan meneruskan perjuangan mereka dalam acara keirin lelaki yang akan berlangsung pada Sabtu.
#Azizulhasni Awang #Belanda #Britain #Malaysia #New Zealand #Olimpik #Tokyo #Firdaus #basikal #pecut #Sukan Olimpik Tokyo #2020
;